KUALA LUMPUR: Bagi individu memiliki kulit sensitif atau kering, sabun pencuci wajah akan membuatkan kulit wajah rosak dan kering terutama untuk individu yang terlalu kerap mencuci muka.

Pengasas Klinik Kulit Dermalene, Dr Alina Hasni berkata, pembersihan terlalu kerap terutama di musim panas sepanjang Ramadan tidak disarankan kerana boleh menyebabkan iritasi yang lebih teruk disebabkan kandungan bahan pewangi, alkohol, agen pembersih kasar (harsh cleaning agent), Alpha Hydroxy Acid (AHA) dan Sodium Lauryl Sulphate. 

"Bagi mereka yang memiliki kulit wajah sensitif, disarankan untuk mencuci wajah pada waktu petang sahaja setelah seharian beraktiviti di luar. Tidak perlu mencuci muka dengan pencuci pada pagi hari, memadai dengan air bersih sahaja.

"Namun sekiranya bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar berkepadatan tinggi, sudah pasti kulit muka terdedah dengan pencemaran persekitaran. Gunakan pembersih wajah selepas selesai aktiviti harian seperti selepas balik dari tempat kerja dan sebagainya.

"Jadi amat disarankan menggunakan pencuci muka yang mengandungi Gliserin, Ceramides dan juga Asid Hyaluronik. Boleh cuci muka tetapi jangan terlalu kerap," katanya kepada Astro AWANI.

Dalam masa sama, Dr Alina turut menitipkan nasihat, kulit juga memerlukan ruang bernafas daripada memakai alat solek tebal dan disarankan agar sentiasa mengenakan krim tabir surian dan pelembap.

"Kulit wajah juga perlu ruang untuk bernafas. Amat disarankan penggunaan solekan ditanggalkan sebelum tidur, biar kulit berehat pada waktu malam," ujarnya.

Dalam pada itu, Dr Alina yang memiliki lapan cawangan klinik kulit dalam negara berkata, penjagaan wajah perlu dititikberatkan pada sebelah malam berbanding siang kerana proses pembaharuan kulit banyak berlaku pada waktu malam.

"Apabila dalam keadaan berbaring, sistem peredaran darah bertambah baik dalam 30 hingga 40 peratus dalam kadar aliran darah. Ini termasuk kaedah ‘skin fasting’ bertujuan memberi ruang untuk kulit bernafas. Dengan mengurangkan jumlah penggunaan produk kecantikan pada wajah, ia boleh meneutralkan kulit wajah sekali gus akan melembap secara semula jadi.

"Biarkan kulit berehat seketika daripada bebanan tindak balas penggunaan rangkaian produk penjagaan wajah secara berlapis-lapis selama ini. Memadai dengan hanya melakukan ‘double cleansing’ diikuti penggunaan pelembap dan produk pelindung matahari (sunscreen/sunblock)," katanya.

Jelas Dr Alina lagi, seiring peningkatan usia, kitaran kulit akan bertambah perlahan dan sel-sel mati yang terkumpul di permukaan kulit menyebabkan kulit kendur, garis halus dan kedutan muncul.