KUALA LUMPUR: Pengasas Human Equation, Sheila Singam, nekad untuk memberikan inspirasi kepada orang ramai melalui hasil seni lukisan yang berinspirasikan pengalaman hidupnya.

Menurut bekas wartawan yang berusia 62 tahun itu, kehilangan suami tercinta KP Waran pada Oktober 2018 akibat kanser memberikan kesan yang mendalam dalam hidupnya.

Selain turut menterjemah kisah tersebut ke dalam lukisannya, ibu kepada dua cahaya mata itu juga menghasilkan siri karya. Semua itu dilakukannya dengan falsafah mahu menebarkan warna-warna kehidupan ke dalam jiwa orang ramai, terutamanya kepada pesakit kanser.

Tambah Sheila, sebanyak 20 peratus hasil jualan lukisannya akan disumbangkan bagi membantu dua pesakit kanser, yang akan ditentukan kelak.

dijual di Temu House

“Saya ingin memberikan inspirasi kepada orang ramai untuk mencuba sesuatu yang baharu dengan mengatasi ketakutan dalam diri,” katanya kepada Astro AWANI, di sini baru-baru ini.

Katanya, sewaktu zaman persekolahan, Sheila pernah dipandang enteng oleh guru seninya kerana dia dikatakan tiada bakat dalam seni lukisan. 

Siapa sangka, selepas memendam minat itu sekian lama, Sheila kembali berkecimpung dalam dunia seni pada 2019.

Kini, karya Sheila berjaya mendapat tempat di pameran seni dan beliau ingin menyebarkan kegembiraan melalui hasil seninya itu.

yang dijual di pameran 'Forest of The Brain'

Dengan pameran pertamanya yang berjudul ‘Forest of the Brain’, para peminat seni boleh memiliki buah tangan Sheila itu di Temu House, Petaling Jaya.

“Tujuan saya mengadakan pameran ini adalah untuk mempersembahkan hasil lukisan saya, yang berkisahkan pengalaman kehidupan saya, untuk dijadikan inspirasi kepada orang ramai bahawa kita boleh berjaya melakukan sesuatu sekiranya kita tidak berputus asa,” ujarnya lagi.

Hasil seni Sheila yang unik itu menggunakan media campuran di atas kanvas sebelum diwarnakan dengan cat akrilik.

dan diwarnakan dengan cat akrilik

Untuk rekod, Sheila merupakan jurulatih bagi Neuro Linguistic Programming yang diperakui oleh American Board of Neuro Linguistic Programming dan jurulatih bagi Trainer of Time Line Therapy yang diperakui oleh Time Line Therapy Association.

Sebagai jurulatih korporat, Sheila telah memberikan khidmat jurulatihnya kepada banyak syarikat ternama seperti Allianz, AmBank, serta Amway.