LAPANGAN Terbang Changi di Singapura telah mendedahkan identiti seorang polis bantuan selepas gambar beliau menjadi viral di media sosial minggu lalu kerana kekacakannya.

Menurut satu catatan di laman Facebook milik lapangan terbang itu, pegawai berkenaan dikenali sebagai Lee Minwei, berusia 22 tahun dan telah berkhidmat di situ selama tujuh bulan.

Dalam perkongsian tersebut, Lee berkata antara detik paling menarik ketika berkhidmat di Lapangan Terbang Changi adalah apabila gambar beliau popular di laman media sosial.

“Ada masanya pelancong asing mahu bergambar dengan saya.

"Saya tidak sangka situasi seperti ini akan berlaku. Saya masih terkejut dan kawan-kawan dan ahli keluarga sering mengusik saya,” katanya menerusi laman Facebook itu.


Selain itu, beliau akui begitu senang bekerja di Lapangan Terbang Changi dan tahu tentang langkah-langkah keselamatan di situ.

“Saya sentiasa mahu mereka (penumpang) selamat,” katanya.

Gambar Lee mula mendapat perhatian netizen Singapura setelah gambar beliau dimuat naik di Twitter, dan kemudian di kongsi di laman Facebook hiburan, SGAG.


Setakat ini, ia menerima 21,000 Likes dan 9,500 perkongsian, atau Shares.

Perkongsian Lapangan Terbang Changi turut mendapat perhatian ramai dengan 24,000 Likes dan 8,500 perkongsian.