Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Anwar mahu institusi pondok kuasai AI tanpa abaikan pendidikan agama

Anwar Ibrahim Linggi
Anwar berkata, Kerajaan telah mengadakan sesi libat urus dengan tokoh-tokoh ulama dan pengurusan institusi pondok dari seluruh negara bagi mendapatkan pandangan mengenai usaha memperkukuh sistem pendidikan agama. - Bernama
Advertisement

LINGGI: Institusi pondok dan sekolah agama rakyat perlu bergerak seiring dengan perkembangan teknologi semasa termasuk kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan pelajarnya tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, usaha itu bagaimanapun tidak akan mengubah atau menjejaskan kurikulum teras pengajian agama yang telah lama diamalkan di institusi berkenaan.

Menurut Anwar, kerajaan telah mengadakan sesi libat urus dengan tokoh-tokoh ulama dan pengurusan institusi pondok dari seluruh negara bagi mendapatkan pandangan mengenai usaha memperkukuh sistem pendidikan agama.

"Saya kata kita tidak akan ganggu manhaj tarbiah mereka. Mereka hendak ajar kitab dan bidang agama seperti yang ditentukan oleh guru-guru pondok, itu kita hormati," katanya ketika berucap pada program di Linggi pada Khamis.

Dalam masa sama, beliau mencadangkan supaya penguasaan Bahasa Melayu dan pendedahan kepada teknologi diperkukuhkan dalam kalangan pelajar institusi berkenaan.

Anwar berkata, perkembangan pesat AI dan teknologi maklumat memerlukan generasi muda, termasuk pelajar pondok, diberikan peluang memahami perubahan landskap digital semasa.

"Kita tidak mahu anak-anak Melayu yang masuk pondok ketinggalan apabila dunia bercakap tentang AI, teknologi maklumat dan digital," katanya lagi.

Beliau berkata, bagi tujuan itu kerajaan turut menggerakkan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk memberi penerangan dan pendedahan berkaitan teknologi kepada pengurusan institusi pondok.

Menurutnya, pendekatan berkenaan diterima baik sebahagian besar tokoh pendidikan Islam kerana ia dilihat sebagai nilai tambah kepada sistem pendidikan sedia ada tanpa mengurangkan penekanan terhadap hafazan, akidah dan ilmu agama.

Anwar berkata, usaha memperkasa institusi pondok merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan untuk memartabatkan pendidikan Islam selain mengembalikan semula peruntukan kepada sekolah agama rakyat yang pernah dihentikan sebelum ini.

Beliau menegaskan, penguasaan ilmu agama dan teknologi perlu bergerak seiring bagi melahirkan generasi yang bukan sahaja mempunyai asas keagamaan kukuh, malah mampu bersaing dalam era digital dan ekonomi berasaskan teknologi.

Must Watch Video

Advertisement