Skip to main content

Dunia

Bintang 'Lethal Weapon' Danny Glover dedah hidap Alzheimer

[TB]_Danny Glover Alzheimer_SINAR
Sepanjang hampir 40 tahun dalam industri hiburan, Glover telah membintangi lebih 170 filem dan program televisyen. - Foto Sinar Harian
Advertisement

LONDON: Pelakon filem "Lethal Weapon", Danny Glover mendedahkan bahawa beliau menghidap penyakit Alzheimer sejak beberapa tahun lalu, lapor PA Media/dpa.

Pelakon berusia 79 tahun itu mengumumkan perkara berkenaan dalam temu bual bersama rancangan The Today Show terbitan penyiar Amerika Syarikat (AS), NBC. 

Beliau berkata diagnosis itu diterima tidak lama selepas menerima Anugerah Oscar kehormat pada 2022.

"Saya masih mampu meneruskan kehidupan. Saya pasti apabila penyakit ini semakin berkembang, banyak perkara akan berubah," katanya sambil memaklumkan pergerakan, pertuturan dan ingatannya semakin perlahan.

Bagaimanapun, beliau berkata sokongan keluarga yang sentiasa berada di sisi, banyak membantunya menghadapi cabaran itu.

Dalam temu bual sama, anak perempuannya, Mandisa berkata adalah "amat penting" untuk bapanya berkongsi sendiri mengenai keadaan kesihatannya.

"Dan masanya ialah sekarang. Tiada masa yang lebih sesuai selain sekarang untuk beliau bercakap bagi pihak dirinya sendiri. 

"Ia penting kerana orang ramai sering bertanya dan saya tidak mahu bersikap tidak jujur dengan mengatakan semuanya baik-baik sahaja," katanya.

Glover turut berkongsi mengenai diagnosis itu dalam temu bual bersama majalah "People", dengan mengakui beliau masih belum dapat menerima sepenuhnya hakikat penyakit yang dihidapinya.

"Ada saat-saat yang mengingatkan saya bahawa saya masih mampu mengingati sesuatu. Dan ada kenangan yang tidak akan saya lupakan," katanya.

Namun, beliau menegaskan penyakit itu bukan penamat kepada kehidupannya.

"Saya tidak merasakan ini pengakhiran hidup saya. Masih banyak yang perlu dilakukan. 

"Saya masih mempunyai anak perempuan dan rakan-rakan. Saya hanya ingin mengatakan bahawa kehidupan tetap diteruskan," katanya.

Sepanjang hampir 40 tahun dalam industri hiburan, Glover telah membintangi lebih 170 filem dan program televisyen.

Beliau memulakan kerjaya lakonan menerusi filem "Escape From Alcatraz" pada 1979 sebelum mencipta nama pada era 1980-an menerusi watak Roger Murtaugh dalam siri filem "Lethal Weapon"  bersama Mel Gibson yang memegang watak Martin Riggs. 

Beliau turut membintangi filem "Places in the Heart" , "The Colour Purple"  dan "Predator 2".

Sepanjang kerjayanya, Glover telah memenangi lima Anugerah Emmy dan empat Anugerah Grammy.

Beliau pernah berkhidmat sebagai Duta Muhibah Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) dari 1998 hingga 2004, dengan memberi tumpuan kepada kempen global membasmi kemiskinan, penyakit serta memerangi HIV/AIDS di Afrika, Amerika Latin dan Caribbean.

Pada 2004, beliau turut dilantik sebagai Duta Muhibah Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF).

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Alzheimer's Society, Michelle Dyson berkata pihaknya bersimpati dengan Glover susulan pengumuman mengenai penyakit yang dihidapinya.

"Perkongsian peribadi seperti ini membantu meningkatkan kesedaran mengenai penyakit Alzheimer, iaitu bentuk demensia yang paling lazim, dan kami amat menghargai keterbukaan Danny berkongsi diagnosis beliau.

"Menerima diagnosis boleh menjadi sesuatu yang menakutkan, namun kami percaya adalah lebih baik untuk mengetahuinya," katanya.

-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa

 

TAG: Hollywood, Danny Glover, Lethal Weapon, Predator, diagnosis Alzheimer

Must Watch Video

Advertisement