VENICE: Dokumentari mengenai Gaza berjudul NAZA mencatat sejarah apabila menerima tepukan gemuruh berdiri selama 24.5 minit pada tayangan perdananya di Festival Filem Venice, sekali gus menjadi rekod baharu bagi acara berprestij itu.
Menurut laporan media antarabangsa, sambutan luar biasa itu mengatasi rekod terdahulu selama 22 minit yang dicatatkan oleh filem The Voice of Hind Rajab pada tahun lalu.
Penonton dilaporkan bersorak dan mengibarkan bendera Palestin sepanjang penghormatan tersebut.
NAZA diarahkan oleh Yuval Abraham dan Rachel Szor, dua daripada pengarah dokumentari pemenang Oscar No Other Land.
Filem itu meneliti operasi ketenteraan Israel di Gaza melalui siri temu bual dengan 24 pegawai perisikan tentera dan anggota tentera Israel yang terlibat dalam pemantauan serta serangan jarak jauh di wilayah berkenaan.
Menurut sinopsis rasmi, dokumentari tersebut memaparkan secara terperinci sistem yang didakwa digunakan dalam operasi ketenteraan Israel yang mengorbankan orang awam Palestin di Gaza.
Rakaman filem itu dilakukan secara rahsia pada waktu malam di atas bumbung bangunan di Tel Aviv.
Kesemua individu yang ditemu bual memberikan keterangan secara tanpa nama, dengan wajah dan suara mereka diubah secara digital bagi melindungi identiti masing-masing.
Dalam sidang media sempena festival itu, Abraham berkata beliau dan Szor mahu mendapatkan gambaran terperinci mengenai bagaimana sistem berkenaan beroperasi daripada mereka yang terlibat secara langsung.
Dokumentari itu turut dibangunkan berdasarkan laporan penyiasatan yang diterbitkan antara 2023 hingga 2025 oleh +972 Magazine, Local Call dan The Guardian mengenai konflik di Gaza.
NAZA merupakan satu-satunya dokumentari yang bersaing dalam kategori utama Festival Filem Venice tahun ini dan kini disebut-sebut sebagai antara karya paling mendapat perhatian sepanjang festival tersebut.