CALIFORNIA: Pelakon Amerika Syarikat (AS) Eric Dane menitipkan kata-kata menyentuh hati buat dua anak perempuannya dalam satu temu bual bagi siri dokumentari Netflix, hanya beberapa bulan sebelum kematiannya, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Perkhidmatan penstriman itu mengeluarkan episod berdurasi hampir sejam bertajuk “Famous Last Words” yang memaparkan kisah Dane pada Jumaat – sehari selepas bintang siri TV “Grey's Anatomy” itu meninggal dunia.
Advertisement
Pada April 2025, Dane mengumumkan bahawa beliau telah didapati menghidap penyakit neurologi yang tidak boleh diubati sehingga kini, “sklerosis lateral amiotrofik” (ALS). Beliau menghembuskan nafas terakhir pada usia 53 tahun.
Perbualan Dane dirakam pada November untuk siri Netflix itu, yang menampilkan temu bual bersama tokoh terkemuka yang hanya akan disiarkan selepas kematian mereka, bagi membolehkan mereka berkongsi mesej terakhir kepada dunia.
Dalam rakaman itu, beliau yang duduk di kerusi roda berbicara mengenai kehidupannya dengan suara yang serak. Beliau menyampaikan kata-kata emosi kepada anak-anaknya, Billie, 15, dan Georgia, 14, hasil perkongsian hidup dengan pelakon Rebecca Gayheart.
Dane mengenang kembali memori percutian dan pengalaman bersama, selain berkongsi pengajaran hidup yang dipelajarinya sepanjang berdepan penyakit itu.
Bapa itu menasihatkan dua anak gadisnya supaya "hargai masa sekarang. Hiduplah pada waktu ini," dan menikmati setiap detik yang ada. Beliau turut berpesan agar mereka mencari minat yang mampu membangkitkan semangat dan memberi kegembiraan, sepertimana lakonan memberi makna kepada hidupnya.
Pesanan terakhir beliau buat anak-anaknya adalah untuk "berjuang dengan seluruh jiwa raga dan dengan bermaruah. Apabila kamu berdepan cabaran, sama ada berkaitan kesihatan atau sebaliknya, berjuanglah. Jangan pernah berputus asa. Berjuanglah sehingga nafas terakhir."
Meskipun ALS memusnahkan tubuhya secara perlahan-lahan, Dane berkata penyakit itu tidak pernah melunturkan semangatnya. "Billie dan Georgia, kamu adalah jantung hatiku. Kamu adalah segala-galanya bagiku. Selamat malam. Ayah sayang kamu. Itulah kata-kata terakhir ayah."
ALS merupakan penyakit yang menyerang sistem saraf pusat dan periferal. Saraf yang musnah mengakibatkan gangguan menelan, bernafas, dan bertutur, selain menyebabkan pengecutan otot serta kelumpuhan yang akhirnya membawa kepada kematian.
-- BERNAMA-dpa