TEHRAN: Kerajaan Iran sekali lagi menolak dakwaan jumlah korban tinggi dalam protes besar-besaran bulan lalu, sambil menegaskan bahawa ribuan yang terbunuh adalah mangsa “serangan pengganas”.
Menteri Luar, Abbas Araghchi, berkata pihaknya telah mengeluarkan senarai 3,117 mangsa, termasuk kira-kira 200 anggota keselamatan.
Advertisement
Beliau mencabar mana-mana pihak yang meragui angka tersebut supaya “mengemukakan bukti”.
Kenyataan itu dibuat selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mendakwa 32,000 orang terbunuh, sambil menyifatkan rakyat Iran “hidup dalam keadaan neraka” di bawah pemerintahan ulama negara itu.
Araghchi turut aktif memberi temu bual kepada media AS dalam usahanya menjelaskan pendirian Tehran serta meredakan ketegangan berhubung rundingan nuklear.
Beberapa negara, termasuk Serbia, turut menasihatkan rakyat mereka meninggalkan Iran susulan kebimbangan terhadap kemungkinan tercetusnya konflik.
Pelapor khas PBB, Mai Sato, berkata lebih 20,000 orang awam mungkin terbunuh, namun akses maklumat amat terhad berikutan sekatan internet sejak hampir enam minggu lalu.
Sementara itu, kumpulan hak asasi berpangkalan di AS, HRANA, melaporkan lebih 7,000 kematian telah dikenal pasti dan hampir 12,000 kes lagi sedang disiasat.
Dalam satu kenyataan bersama, 30 pakar hak asasi menggesa Iran mendedahkan nasib puluhan ribu individu yang ditahan atau hilang selepas rusuhan, serta menghentikan pelaksanaan hukuman mati berkaitan protes.
Pakar-pakar itu berkata majoriti yang terkorban adalah orang biasa, termasuk kanak-kanak, warga dari pelbagai etnik dan agama, warga Afghanistan, peguam, petugas perubatan, wartawan, artis dan aktivis.
Media rasmi Iran turut dituduh menyiarkan “pengakuan paksa” secara kerap.
Terbaharu, agensi Mizan menayangkan rakaman tiga lelaki yang mendakwa menyesal kerana membakar motosikal, sebuah masjid dan naskhah al-Quran ketika protes.
Sebahagian kampus dibuka semula pada Sabtu selepas penutupan panjang.
Di Universiti Sharif di Tehran, dua kumpulan pelajar bertembung dalam insiden tegang melibatkan pelajar prokerajaan Basij.
Suasana keselamatan di sekolah dan asrama juga dilaporkan semakin ketat.
Beberapa sekolah di sekitar Tehran melancarkan mogok minggu lalu bagi membantah pembunuhan lebih 230 kanak-kanak serta kehadiran besar pasukan keselamatan di bilik darjah.