ROM: Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun di Itali yang menghidap masalah jantung, meninggal dunia pada Sabtu akibat komplikasi selepas menerima jantung penderma yang rosak, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
"Dia sudah tiada," lapor agensi berita ANSA yang memetik kata-kata ibunya sambil menangis ketika meninggalkan hospital di Naples. Beliau turut merancang untuk menubuhkan sebuah yayasan bagi memperingati anaknya itu.
Advertisement
Menurut pihak hospital, Domenico meninggal dunia di unit rawatan rapi "akibat kemerosotan keadaan klinikalnya yang berlaku secara tiba-tiba dan tidak dapat dipulihkan".
Kes itu menarik perhatian meluas di Itali, sebahagiannya disebabkan oleh kesilapan yang nyata semasa proses pembedahan berkenaan.
Selepas sekian lama menunggu, jantung penderma akhirnya ditemukan sejurus sebelum sambutan Krismas bagi kanak-kanak itu yang dilahirkan dengan kecacatan jantung sejak lahir.
Bagaimanapun, organ berkenaan tidak disejukkan dengan betul semasa proses penghantaran, sehingga mengakibatkan kerosakan teruk.
Pada Rabu, sepasukan doktor memutuskan bahawa pemindahan baharu adalah sia-sia memandangkan organ lain termasuk buah pinggang, tidak lagi berfungsi dengan baik.
Pihak hospital menyatakan seluruh pasukan perubatan bersimpati dan berdiri teguh di samping keluarga berkenaan "dalam saat kesedihan yang amat memeritkan ini".
Pada awal pagi Sabtu, hospital melaporkan keadaan Domenico merosot dengan pantas. Kardinal Domenico Battaglia, Ketua Biskop Naples, sempat memberikan upacara terakhir sebelum kanak-kanak itu meninggal dunia.
Domenico telah dimasukkan ke hospital selama hampir dua bulan dan sebahagian besar masanya berada dalam keadaan koma. Dia bergantung sepenuhnya kepada mesin sokongan hayat sementara menunggu jantung penderma yang lain.
Walaupun terdapat harapan untuk mendapatkan organ baharu, doktor akhirnya merumuskan bahawa pembedahan ulangan tidak akan berjaya, dan namanya dikeluarkan daripada senarai menunggu pemindahan jantung.
-- BERNAMA-dpa