Skip to main content

Dunia

Pelakon The Godfather, Robert Duvall meninggal dunia pada usia 95 tahun

FILE PHOTO: Actor Robert Duvall poses for a portrait in Beverly Hills, California September 26, 2014. REUTERS/Lucy Nicholson/File Photo
Robert Duvall yang dikenali melalui watak ikonik dalam The Godfather dan Apocalypse Now dilaporkan meninggal dunia pada usia 95 tahun. - Gambar fail Reuters

WASHINGTON: Pelakon tersohor Hollywood, Robert Duvall yang dikenali melalui watak ikonik dalam The Godfather dan Apocalypse Now dilaporkan meninggal dunia pada usia 95 tahun, menurut laporan media Amerika Syarikat (AS).

Dalam kenyataan yang dikeluarkan agensi perhubungan awam bagi pihak isterinya, Luciana, Duvall menghembuskan nafas terakhir secara tenang di kediamannya di Middleburg, Virginia pada Ahad.

Advertisement

“Bagi dunia, beliau ialah seorang pelakon pemenang Oscar, seorang pengarah dan pencerita hebat. Tetapi bagi saya, beliau adalah segala-galanya,” kata Luciana dalam kenyataan itu.

Beliau menambah, minat Duvall terhadap dunia lakonan hanya ditandingi kecintaannya terhadap karakter yang dibawakan, hidangan enak serta kebiasaannya menjadi tumpuan dalam setiap pertemuan.

“Dalam setiap naskhah, Bob memberikan sepenuhnya dirinya demi membawa kebenaran jiwa manusia yang diwakili karakter tersebut. Warisan itu kekal bersama kita semua,” katanya sambil menghargai sokongan peminat dan ruang privasi yang diberikan kepada keluarga.

Karier 60 tahun penuh watak ikonik

Sepanjang lebih enam dekad dalam industri, Duvall dikenali menerusi watak-watak ‘tough guy’, termasuk sebagai konsiglieri mafia dalam The Godfather serta pegawai tentera berkarisma dalam Apocalypse Now.

Walaupun hanya muncul beberapa minit dalam filem arahan Francis Ford Coppola itu, dialognya - “I love the smell of napalm in the morning” menjadi antara petikan paling diingati dalam sejarah perfileman.

Wataknya pada asalnya direka lebih ekstrem, namun Duvall memilih untuk menampilkannya secara lebih realistik. 

Nama watak itu turut diubah daripada Captain Carnage kepada Lieutenant Colonel William Kilgore.

Dalam satu temu bual bersama Larry King pada 2015, Duvall berkata, beliau melakukan “kerja rumah” dan kajian mendalam demi memastikan watak tersebut benar-benar hidup.

Pemenang Oscar dan calon tujuh kali

Sepanjang kerjayanya, Duvall menerima tujuh pencalonan Oscar dan memenangi kategori Pelakon Lelaki Terbaik pada 1983 menerusi filem Tender Mercies, di mana beliau melakonkan watak penyanyi country yang sudah hilang sinar.

Antara filem lain lakonan mendiang yang meninggalkan kesan ialah Network (1976), The Great Santini (1979), The Handmaid’s Tale (1990) dan The Judge (2014), bersama Robert Downey Jr.

Duvall sering menyatakan watak kegemarannya ialah Augustus McCrae dalam siri mini Lonesome Dove (1989), adaptasi karya Larry McMurtry, di mana beliau membawakan watak bekas Texas Ranger yang kemudian menjadi koboi.

Penampilan layar perak pertamanya ialah dalam filem adaptasi To Kill A Mockingbird (1963), di mana beliau melakonkan watak Boo Radley yang misteri.

Skrip filem itu ditulis Horton Foote, penulis yang kemudian bekerjasama dengan Duvall dalam beberapa projek lain termasuk Tender Mercies, Tomorrow dan The Chase. - Agensi

Must Watch Video