MADRID: Penyanyi terkenal Colombia, Shakira, memenangi kes cukai berprofil tinggi selepas mahkamah di Sepanyol memerintahkan pihak berkuasa cukai negara itu memulangkan lebih €55 juta (RM255 juta) yang dikutip secara tidak wajar.
Mahkamah tinggi Sepanyol membebaskan Shakira daripada tuduhan penipuan cukai berkaitan tahun taksiran 2011, selain mengarahkan pembayaran balik termasuk faedah kepada penyanyi berusia 49 tahun itu.
Dalam penghakimannya, mahkamah mendapati pihak berkuasa cukai gagal membuktikan bahawa Shakira tinggal di Sepanyol sekurang-kurangnya 183 hari pada tahun 2011, syarat minimum untuk dianggap sebagai pemastautin cukai di negara itu.
Sebaliknya, mahkamah memutuskan bahawa penyanyi itu hanya berada di Sepanyol selama 163 hari pada tahun tersebut, sekali gus tidak memenuhi syarat untuk dikenakan cukai pendapatan individu.
Keputusan itu bermakna semua cukai dan penalti yang dikenakan sebelum ini adalah tidak sah.
Jumlah yang perlu dibayar balik merangkumi sekitar €24 juta cukai pendapatan serta hampir €25 juta dalam bentuk denda yang sebelum ini diklasifikasikan sebagai pelanggaran serius, termasuk faedah terkumpul.
Mahkamah turut menyatakan bahawa pihak berkuasa bergantung kepada andaian tidak terbukti bahawa Sepanyol adalah pusat kepentingan ekonomi Shakira pada tahun berkenaan.
Dalam kenyataan, Shakira menyambut baik keputusan itu dan berkata ia akhirnya membersihkan reputasinya selepas bertahun-tahun berdepan tekanan.
Beliau menyifatkan tempoh tersebut sebagai lapan tahun yang “penuh tekanan”, termasuk pendedahan awam yang berlebihan dan usaha menjejaskan reputasinya, yang turut memberi kesan kepada kesihatan dan keluarganya.
Agensi cukai Sepanyol bagaimanapun memaklumkan ia akan mengemukakan rayuan ke Mahkamah Agung, dan pembayaran tidak akan dibuat sehingga keputusan muktamad dicapai.
Kes ini merupakan sebahagian daripada beberapa pertikaian cukai yang melibatkan Shakira di Sepanyol.
Pada 2023, beliau mencapai penyelesaian dengan pendakwa bagi kes berasingan melibatkan tahun 2012 hingga 2014, dengan membayar denda untuk mengelakkan perbicaraan.
Selain itu, siasatan berhubung cukai bagi tahun 2018 turut digugurkan pada 2024 kerana kekurangan bukti.
Shakira, yang terkenal dengan lagu popular seperti 'Hips Don’t Lie' dan 'Whenever, Wherever', sebelum ini tinggal di Sepanyol bersama bekas pemain bola sepak Gerard Pique selama lebih sedekad.
Keputusan mahkamah ini menamatkan pertikaian panjang antara Shakira dan pihak berkuasa cukai Sepanyol yang bermula hampir lapan tahun lalu.
Dengan keputusan tersebut, penyanyi itu kini dijangka menerima bayaran balik berjumlah puluhan juta euro, tertakluk kepada hasil rayuan pihak berkuasa.