Skip to main content

Dunia

Trump bayangkan AS mungkin tidak sambung semula serangan terhadap Iran selepas pilihan raya

Trump menegaskan bahawa Tehran tidak akan sekali-kali memperoleh senjata nuklear, sambil mendakwa pegawai Iran sendiri sudah menyedari pendirian itu. - AP
Trump menegaskan bahawa Tehran tidak akan sekali-kali memperoleh senjata nuklear, sambil mendakwa pegawai Iran sendiri sudah menyedari pendirian itu. - AP
Advertisement

ISTANBUL: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Isnin membayangkan bahawa Washington mungkin tidak menyambung semula serangan ketenteraan terhadap Iran selepas pilihan raya pertengahan penggal pada Selasa, sambil menyatakan bahawa usaha diplomatik menunjukkan kemajuan, lapor Anadolu Ajansi.

"Tidak," jawab Trump ketika ditanya seorang pemberita selepas acara kempen di Washington sama ada beliau sedang mempertimbangkan untuk menyerang Iran sekali lagi selepas pilihan raya itu.

Ketika berucap pada acara berkenaan, Trump menegaskan bahawa Tehran tidak akan sekali-kali memperoleh senjata nuklear, sambil mendakwa pegawai Iran sendiri sudah menyedari pendirian itu.

Advertisement

Beliau menggesa pengundi supaya mengingati usaha pentadbirannya untuk menghalang Iran daripada memperoleh senjata nuklear "ketika mereka masuk ke pusat mengundi".

Trump berhujah bahawa usaha menghalang Tehran daripada memperoleh keupayaan nuklear amat penting, sambil memberi amaran bahawa negara itu "tidak akan dapat berfungsi dengan cara yang sama" sekiranya Iran memiliki keupayaan berkenaan.

Advertisement

"Kami telah menghentikannya setahun lalu dengan pesawat pengebom B-2 yang hebat itu, yang mengenai setiap sasaran dengan tepat dan menyebabkan ratusan tan batu menimbus segala-galanya," kata Trump.

Presiden itu turut membayangkan bahawa pengaturan diplomatik sedang menunjukkan perkembangan yang sangat baik, sambil mengaitkan jangkaan tercapainya perjanjian dengan penurunan harga tenaga.

"Itulah sebabnya, saya rasa, harga minyak turun dengan begitu mendadak," katanya.

Dalam wawancara berasingan dengan Axios, Trump berkata beliau tidak tergesa-gesa membuat keputusan sama ada mahu menyambung semula serangan ketenteraan secara langsung terhadap Iran.

"Dengan satu cara atau yang lain, kami akan melakukan sesuatu, tetapi tidak perlu tergesa-gesa," katanya.

Trump mendakwa tekanan AS telah melemahkan ekonomi Iran dengan teruk.

"Kami telah melumpuhkan mereka dari segi kewangan. Mereka tidak mempunyai wang, tiada gasolin dan rakyat mereka semakin bosan dengan keadaan itu," katanya.

Presiden itu berkata komunikasi dengan Tehran "berjalan lancar", namun menuduh perunding Iran sengaja melengah-lengahkan perbincangan.

"Keadaan di pihak Iran tidaklah begitu mendesak seperti yang anda sangkakan, tetapi mereka lebih mahu mencapai perjanjian berbanding sebelum ini," kata Trump.

Kenyataan beliau itu menyusuli laporan bahawa Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menggesa Washington dalam perbualan telefon pada Sabtu supaya melancarkan serangan ketenteraan dengan segera selepas pilihan raya pertengahan penggal.

Bagaimanapun, menurut Axios, Trump memutuskan untuk membenarkan rundingan diplomatik diteruskan meskipun Netanyahu membangkitkan kebimbangan berhubung perkara itu.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video

Advertisement