KUALA LUMPUR: Seramai 30 penjaja tempatan berpeluang berniaga tanpa perlu membayar sewa tapak sempena Grand Prix Motosikal Malaysia (MotoGP) 2026 menerusi inisiatif Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), dengan jumlah jualan melebihi RM200,000 sepanjang tiga hari penganjuran.
KUSKOP dalam satu kenyataan menjelaskan, Program Litar Rasa MADANI yang berlangsung selama tiga hari di kawasan K2 Hillstand, Litar Antarabangsa Sepang, mencatatkan jualan sebanyak RM207,000 dan menerima lebih 10,000 pengunjung.
"Kadar sewa tapak niaga komersial di acara tersebut boleh mencecah RM3,000. Namun, kesemua 30 penjaja yang menyertai Litar Rasa MADANI tidak dikenakan sebarang sewa tapak.
"KUSKOP menanggung sepenuhnya kos sewa tapak, selain menyediakan khemah, baju, apron, meja dan kerusi bagi membantu mengurangkan kos penyertaan peniaga. Kesemua 30 penjaja tersebut hanya perlu membayar RM180 untuk lesen perniagaan daripada pihak berkuasa tempatan," jelas kenyataan itu.
Dalam pada itu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong, berkata selepas kejayaan pelaksanaan Litar Rasa MADANI sempena perlumbaan Formula Satu (F1) pada awal Oktober lalu, KUSKOP meneruskan inisiatif yang sama di MotoGP bagi membuka peluang kepada lebih ramai penjaja dan peniaga kecil untuk berniaga di acara sukan bertaraf antarabangsa.
"Acara besar seperti MotoGP sememangnya menarik ramai pengunjung dan menawarkan peluang jualan yang baik. Namun, kos sewa tapak dan logistik yang tinggi sering menyebabkan penjaja kecil terlepas peluang berniaga di acara besar seperti ini.
"Melalui Litar Rasa MADANI, penjaja tidak perlu mengeluarkan belanja yang besar untuk menyewa tapak dan menyediakan fasiliti berniaga. Mereka boleh menggunakan modal yang ada untuk menyediakan stok jualan dan mengambil peluang menjana pendapatan daripada pengunjung MotoGP," jelasnya
Katanya lagi, selain membuka peluang perniagaan kepada penjaja, Kerajaan MADANI turut menawarkan Tiket MADANI pada harga RM49.90 kepada pemegang MyKad untuk menyaksikan perlumbaan MotoGP dari kawasan K2 Hillstand, sekali gus membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia menikmati acara sukan antarabangsa pada harga yang berpatutan.
MotoGP Malaysia 2026 berlangsung dari 30 Oktober hingga 1 November di Litar Antarabangsa Sepang, dengan jumlah kehadiran melebihi 196,000 penonton sepanjang tiga hari perlumbaan.