Skip to main content

Dunia

Firma UK diberi amaran susulan serangan siber sasar peti sejuk beku di Eropah

"Dalam beberapa bulan akan datang, kita berdepan kemungkinan berlakunya peningkatan insiden siber pada tahap yang belum pernah berlaku sebelum ini." - Gambar hiasan
"Dalam beberapa bulan akan datang, kita berdepan kemungkinan berlakunya peningkatan insiden siber pada tahap yang belum pernah berlaku sebelum ini." - Gambar hiasan
Advertisement

LONDON: Agensi risikan dan keselamatan United Kingdom (UK) memberi amaran kepada organisasi di negara itu yang berkemungkinan berdepan risiko selepas peti sejuk beku pasar raya di seluruh Eropah terjejas akibat serangan siber, lapor PA Media/dpa.

Tindakan oleh Ibu Pejabat Komunikasi Kerajaan (GCHQ) itu diambil susulan beberapa pasar raya di seluruh benua berkenaan mengalami masalah teknikal membabitkan peti sejuk dan peti sejuk beku.

Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Keselamatan Siber Kebangsaan (NCSC), yang merupakan sebahagian daripada GCHQ, memaklumkan terdapat beberapa insiden di UK apabila "teknologi rentan telah dieksploitasi" susulan serangan siber berkenaan.

Advertisement

Ditanya sama ada terdapat bukti pasar raya di Britain atau peti sejuk beku daripada jenama atau model yang sama disasarkan, Dr Richard Horne memberitahu penyiar awam BBC: "Ia bukan hanya pasar raya, malah melibatkan seluruh rantaian bekalan makanan, dan kami telah bertungkus-lumus sepanjang malam memberi amaran kepada organisasi yang dikesan mempunyai teknologi terdedah serta rentan kepada ancaman sebegini.

"Justeru, ada beberapa organisasi di UK telah kami maklumkan dan kami menyedari wujudnya beberapa impak."

Advertisement

Mengulas laporan bahawa beberapa peti sejuk beku di negara itu telah ditukar kepada mod nyahfros,  beliau berkata: "Kami belum mengetahui impak sepenuhnya, namun kami mendapati ada beberapa kes apabila teknologi rentan telah dieksploitasi, dan kami akan bekerjasama dengan organisasi berkenaan untuk memahaminya dengan lebih lanjut."

Mengenai pihak di sebalik serangan berkenaan, beliau berkata: "Masih terlalu awal untuk kami mengulas pada masa ini dan memberikan jawapan muktamad."

Ditanya sama ada perkembangan itu memperkukuh amaran Setiausaha Pertahanan agar penduduk UK membuat simpanan bekalan makanan, beliau berkata: "Sudah tentu. Kami menyaksikan serangan jenayah tahun lepas menjejaskan peruncit di UK.

"Kami tahu perkara ini boleh berlaku, dan kami telah menyaksikannya di seluruh Eropah. Kita melihat pelbagai kesan daripada serangan siber, dan memandangkan teknologi mendasari segala-galanya, selain terdapat banyak kerentanan dalam teknologi yang kita sandarkan akibat kurangnya pelaburan, semua organisasi perlu menilai semula pergantungan mereka, melabur dalam pembaharuan, dan pada akhirnya, kami beroperasi 24/7.

"Kami memberi amaran. Kami campur tangan di mana yang termampu. Namun akhirnya, ini perniagaan anda. Ini pertubuhan anda. Ini kehidupan anda. Anda perlu membuat pilihan dan memilih dengan bijak."

Horne dijadual memberi amaran dalam ucapannya pada Selasa bahawa Britain sedang berdepan detik "akibat yang amat besar" bagi keselamatan siber.

UK dikatakan telah lama terlepas dengan mengamalkan "teknologi murah" selama beberapa dekad, katanya, ketika laporan tahunan NCSC menunjukkan Britain berdepan prospek serangan siber dikuasakan kecerdasan buatan (AI) ke atas infrastruktur kritikal negara dalam tempoh dua tahun akan datang.

Penggodam yang menuntut wang tebusan "berkemungkinan besar" menggunakan AI untuk menyasarkan UK menjelang 2028, manakala negara-negara bermusuhan seperti Rusia dan China akan menggunakan teknologi itu secara rutin bagi mencapai matlamat mereka menjelang tempoh berkenaan, menurut laporan itu.

Dalam ucapan pelancaran laporan itu pada Selasa, Horne berkata: "Jelas sekali bahawa negara kita sedang melalui satu fasa yang pada masa hadapan akan kita lihat sebagai fasa yang membawa impak amat besar.

"Satu detik penentu. Detik membuat pilihan. Dalam beberapa bulan akan datang, kita berdepan kemungkinan berlakunya peningkatan insiden siber pada tahap yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Namun kita mesti faham bahawa ini bukan kerana AI mencipta cara baharu untuk menyerang kita, tetapi kerana kelemahan yang telah dibiarkan terlalu lama kini boleh dikesan dan dieksploitasi pada skala yang tidak pernah dibayangkan sebelum ini.

Dan kerana terlalu banyak organisasi serta rantaian bekalan kita bergantung kepada teknologi dan asas operasi yang lemah," katanya.

Beliau memberi amaran sekiranya perniagaan tidak mengambil tindakan sekarang, mereka terpaksa menjelaskan punca mereka tidak mengendahkan tanda-tanda amaran apabila rak pasar raya menjadi kosong dan bekalan elektrik terputus.

"Apabila makanan tiada di rak, lampu terpadam, perniagaan gulung tikar, kami mungkin terpaksa menjelaskan bahawa kita sudah melihat tanda-tanda amaran, memahami risikonya, namun tetap tidak membuat pilihan yang tepat."

Laporan tahunan NCSC menyebut pasukan pengurusan insidennya menerima 1,831 laporan serangan siber tahun ini, dengan 337 daripadanya memerlukan sokongan teknikal manakala 80 disifatkan berimpak signifikan di peringkat nasional.

Pasukan itu turut memberi amaran kepada 8,500 organisasi apabila sistem masing-masing dikesan telah diceroboh penggodam, menurut laporan berkenaan.

-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa

Must Watch Video

Advertisement