KUALA LUMPUR: Lebih empat dekad mengharungi pasang surut industri muzik, ikon rock tanah air Datuk Awie menolak gelaran “Raja Rock Negara” yang diberikan kepadanya dengan menegaskan pengiktirafan itu lebih layak disandang Datuk Amy Search.
Awie atau Ahmad Azhar Othman, 58, berkata, vokalis kumpulan Search itu bukan sahaja figura penting, malah antara pelopor yang membina asas kukuh muzik rock tempatan serta membawa genre berkenaan ke arus perdana sejak lebih empat dekad lalu.
Advertisement
“Soal gelaran jangan difikirkan. Siapa nak ambil nombor satu atau nombor dua, ambillah. Tetapi bagi saya, individu yang benar-benar layak memegang gelaran nombor satu dalam arena rock negara ialah Amy Search.
"Dialah yang memulakan ‘rock scene’ di Malaysia dan wajar diangkat sebagai ‘godfather’ dalam industri muzik rock tempatan,” katanya kepada pemberita selepas sidang media konsert Awie Rock King: The Last Man Standing 2026, di sini, semalam.
Vokalis kumpulan Wings itu menegaskan, sepanjang perjalanan seninya, beliau tidak pernah meletakkan gelaran sebagai matlamat, sebaliknya memberi tumpuan kepada disiplin berkarya dan mutu persembahan.
Mengulas konsert mega itu, Awie menyifatkan acara tersebut sebagai detik penting yang merangkum keseluruhan perjalanan seninya sepanjang lebih empat dekad bergelar anak seni.
Konsert Awie Rock King: The Last Man Standing 2026 yang bakal berlangsung di Stadium Merdeka pada 12 Sept depan menjadi platform untuk beliau menzahirkan pengalaman serta kematangan yang dibina sejak awal penglibatan dalam dunia seni.
Pelantun lagu Tragedi Oktober itu berkata setiap lagu yang akan dibawakan mempunyai nilai tersendiri kerana mencerminkan fasa berbeza dalam perjalanan kariernya.
“Konsert ini adalah refleksi perjalanan seni saya selama ini. Apa yang saya mahu adalah berkongsi pengalaman dan kepuasan yang saya ada dengan peminat yang sentiasa menyokong saya,” katanya, menambah sokongan berterusan peminat menjadi kekuatan utama beliau untuk terus bertahan dan memberi yang terbaik dalam setiap persembahan.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Bombbay Legend Worldwide, Zamberi Shaari selaku penganjur konsert, berkata kerjasama dengan Awie yang terjalin hampir empat dekad menjadi asas kekuatan penganjuran konsert berkenaan.
“Dari era Wings hingga perjalanan solo beliau, kami sering bekerjasama dan kolaborasi ini membentuk keserasian yang kukuh dalam meningkatkan mutu setiap persembahan,” katanya.
Menurut beliau, judul “Last Man Standing” melambangkan keteguhan Awie dalam mengharungi jatuh bangun kerjaya, perubahan era serta transisi daripada berkumpulan kepada solo, tanpa sesekali mengorbankan identiti seninya, manakala gelaran “Rock King” pula mencerminkan sumbangan besar Awie dalam memperkaya dan mengembangkan genre rock di Malaysia.
Konsert Awie Rock King: The Last Man Standing 2026 bakal menampilkan lebih 25 pemuzik berkaliber serta sembilan penyanyi undangan tempatan dan antarabangsa, termasuk dari Indonesia, yang akan diumumkan kelak.
Katanya, susunan repertoir bakal membawa penonton menyusuri evolusi muzik Awie, menggabungkan elemen nostalgia dengan pendekatan segar untuk menghasilkan pengalaman persembahan yang lebih dinamik.
Tiket berharga antara RM98 hingga RM5,998 kini boleh didapati menerusi platform iLasso Tickets.
-- BERNAMA