KUALA LUMPUR: Walaupun sudah lebih sedekad Biduanita Negara, Allahyarhamah Datuk Sharifah Aini kembali ke rahmatullah, titipan nasihat dan didikan legenda seni itu masih menjadi pegangan penyanyi Shiha Zikir dalam mengharungi pasang surut dunia hiburan.
Bagi Shiha atau nama sebenar Nurshiha binti Mohd Zikir, Allahyarhamah bukan sekadar mentor seni, tetapi figura ibu yang banyak memberi tunjuk ajar akan ketahanan diri, pengurusan hidup serta erti keikhlasan dalam berkongsi rezeki.
Menurut Shiha,39, cara Allahyarhamah yang dibahasakannya sebagai Umi, berdepan dengan pancaroba bergelar anak seni tanpa menggadaikan prinsip diri, merupakan antara pengajaran paling berharga yang dihayatinya hingga kini.
"Umi banyak mengajar Shiha untuk jadi seorang wanita yang kental hati dan kental mental. Saya tengok sendiri macam mana Umi berdepan macam-macam perkara dalam industri seni, tetapi Umi tetap ada dalam industri," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Pelantun lagu AEWO itu berkata, antara pesanan yang paling diingatinya ialah supaya sentiasa memberi tumpuan kepada perkara yang baik dan tidak terlalu memikirkan pandangan negatif orang lain.
Shiha berkata, prinsip itu banyak membantunya untuk terus kekal positif dan fokus pada kerjaya seni meskipun industri hiburan sentiasa berubah serta tidak terlepas daripada pelbagai cabaran.
Selain mendidiknya menjadi seorang wanita yang cekal, Allahyarhamah turut menekankan kepentingan pengurusan kewangan yang baik serta disiplin menyimpan sebagai persediaan menghadapi waktu sukar.
"Umi memang selalu pesan supaya simpan duit dan dari dulu ramai juga cakap, takkan banyak tu nak simpan, tapi Umi ajar Shiha untuk disiplin. Masa muda memang kita nak berbelanja, dapat duit terus beli macam-macam.
"Tapi bila COVID-19 berlaku, Shiha rasa benda itu memang membuka mata. Kalau Shiha tak ikut apa yang Umi pesan untuk simpan sebahagian daripada pendapatan, mungkin susah juga waktu itu. Alhamdulillah, bukan sahaja boleh urus diri sendiri, malah boleh bantu keluarga dan kawan-kawan yang terkesan," katanya.
Shiha berkata, beliau turut mengagumi sifat pemurah Allahyarhamah yang sering menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan secara senyap-senyap tanpa menghebohkan kepada umum.
“Umi cakap satu saja, ‘Tak apa Shiha, yang ini (bantuan) untuk kehidupan kita (di akhirat) nanti’,” katanya.
Shiha bakal tampil bersama-sama dengan barisan artis ternama bagi menjayakan konsert ‘A Tribute to Datuk Sharifah Aini’ di Dewan Filharmonik PETRONAS malam ini, sebagai penghormatan tertinggi buat insan yang banyak membentuk jati dirinya sebagai anak seni.
-- BERNAMA