KUALA LUMPUR: “I don't have a dream wedding, but I have a dream wife'”...
Demikian gambaran romantis Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengenai perkahwinannya dengan penyanyi dan pelakon terkenal, Bella Astillah yang dijadual berlangsung pada 10 Oktober ini.
Syed Saddiq berkata baginya, perkara paling penting bukanlah kemeriahan atau konsep majlis, sebaliknya dapat berkongsi berkongsi cinta dan hidup bersama wanita yang dianggapnya sebagai isteri impian.
“Saya tidak mempunyai dream wedding, tetapi saya mempunyai dream wife. Itu yang paling penting.
“Dalam soal persiapan perkahwinan, saya memang memberikan kelonggaran atau autonomi penuh. Yang penting, kahwin,” katanya ketika ditemui selepas program MeleTOP di Pusat Penyiaran Asia, Bukit Jalil, di sini pada Selasa malam.
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu turut mengakui tidak sabar menantikan hari pernikahannya dengan Bella, atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah.
“Sejujurnya saya tidak rasa ini satu rahsia sangat kerana perancangannya memang kita lakukan bersama keluarga dan kawan-kawan terdekat.
“Cuma berita sebegini apabila sudah diluahkan, lebih mudah untuk kita kongsikan dengan sahabat-sahabat yang mungkin tidak berkesempatan untuk kita jumpa. Saya rasa lega dan tidak sabar untuk hari pernikahan kami berdua,” katanya.
Syed Saddiq berkata majlis persandingan turut dirancang di Muar dan Sabah bagi membolehkan lebih ramai keluarga, sahabat serta rakyat bersama-sama meraikan hari bahagia mereka.
“Lebih penting adalah untuk kita raikan rakyat secara keseluruhan. Sebab itu ada juga kita nak buat di Muar dan Sabah supaya kita dapat libatkan seramai mungkin,” katanya.
Sementara itu, Bella menyifatkan perwatakan Syed Saddiq yang ringkas dan fleksibel dalam membuat keputusan membantu melancarkan persiapan perkahwinan mereka.
“Alhamdulillah, sebenarnya tidak ada masalah ‘pertelingkahan’ dari segi persiapan kahwin sebab YB (Syed Saddiq) sangat simple dan fleksibel. Dia kata apa-apa yang mudah dan tidak menyusahkan saya. Jadi Bella rasa lega di situ,” katanya.
Pelantun lagu Akhirnya Kamu itu berkata kedua-dua keluarga turut gembira dan tidak sabar menantikan hari bahagia mereka, selain menegaskan restu keluarga menjadi keutamaan dalam penyatuan mereka.
“Bella percaya YB (Syed Saddiq) seorang yang sangat family-oriented. Bagi Bella, sangat penting untuk kita kendalikan perkahwinan ini dengan restu orang tua.
“Alhamdulillah, kedua-dua keluarga semuanya gembira dan saling bekerjasama untuk persiapan majlis perkahwinan,” katanya.
Mengenai skala majlis, Bella memaklumkan mereka mempunyai perancangan untuk mengadakan majlis lain yang lebih besar termasuk meraikan peminat dan sahabat handai, namun majlis pernikahan akan berlangsung dalam suasana sederhana.
Katanya, keputusan untuk meraikan lebih ramai tetamu dibuat kerana kedua-duanya mempunyai lingkungan keluarga dan sahabat yang besar.
Dalam pada itu, Bella menjelaskan persiapan perkahwinan mereka kini sudah mencapai 60 peratus, manakala tema majlis persandingan akan diumumkan kelak.
Terdahulu, pasangan itu mengumumkan bakal melangsungkan perkahwinan pada 10 Oktober ini di Menara Merdeka Maybank, yang merupakan bangunan kedua tertinggi di dunia.
Syed Saddiq dan Bella mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu.