KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedia menawarkan bantuan psikososial kepada keluarga Allahyarham Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal sekiranya mereka memerlukan sokongan berkenaan.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata setakat ini pihaknya belum menerima sebarang permintaan bantuan daripada keluarga mangsa dan kementerian tidak mahu mengganggu mereka yang masih berdepan kehilangan tersebut.
“Kalau diperlukan, kami boleh melawat keluarga. Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) boleh membantu dari segi psikososial keluarga sekiranya mereka memerlukan.
“Setakat ini belum ada yang datang kepada kita memerlukannya. Kita juga tidak mahu terus pergi kepada keluarga yang baru sahaja melalui keadaan ini, jadi biarlah dahulu dan kemudian kita cuba,” katanya.
Dalam pada itu, Nancy berkata setakat ini belum ada perbincangan rasmi dengan Kementerian Pendidikan (KPM) berhubung langkah bersama menangani isu melibatkan pelajar.
Bagaimanapun, katanya, perbincangan secara tidak rasmi pernah dilakukan sebelum ini, termasuk mengenai keperluan khidmat kaunseling.
“Rupanya KPM memang mempunyai kaunselor mereka sendiri, jumlahnya beribu-ribu dan saya rasa mereka juga sudah diberikan latihan yang bersesuaian.
“Kalau mereka perlu bekerjasama dengan Lembaga Kaunselor Malaysia, kami terbuka untuk kerjasama,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Perasmian Forum Kebahagiaan Rumah Tangga di ibu negara pada Isnin.
Irene Sofiya, 16, ditemukan tidak bernyawa di kawasan dewan sebuah sekolah di Yong Peng, Johor kira-kira jam 5.30 petang pada Sabtu.
Mangsa dipercayai hadir ke sekolah untuk mengikuti kelas tambahan sebelum ditemukan dalam keadaan berlumuran darah oleh neneknya bersama seorang rakan selepas menyedari remaja itu tidak pulang ke rumah.
Polis kemudian menahan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun di sekitar Yong Peng kira-kira jam 7 malam pada hari sama.
Remaja itu direman selama enam hari hingga 9 Oktober bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.