KUALA LUMPUR: Selepas beberapa tahun menyepi daripada dunia hiburan susulan menjalani hukuman penjara selain ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, Perak selebriti tanah air Yasin Sulaiman kembali mencuri perhatian ramai apabila mengumumkan kemunculan pertamanya di platform TikTok.
Penyanyi berwajah kacukan arab yang terkenal dengan siulan lagunya ‘Mimpi Laila’ menerusi satu hantaran ringkas, memaklumkan bahawa beliau kini secara rasmi buat pertama kalinya menyertai aplikasi media sosial itu dengan kapsyen, “I’m on TikTok now for the first time.”
Kemunculan tersebut mengundang perhatian peminat yang sebelum ini mengikuti perkembangan beliau sepanjang tempoh berehat daripada industri hiburan.
Perkongsian itu turut menerima ribuan tanda suka dan komen dalam tempoh singkat selepas dimuat naik.
Ruangan komen dilaman Instagram milik penyanyi itu turut dibanjiri ucapan selamat kembali serta kata-kata semangat daripada peminat yang menyatakan kegembiraan melihat Yasin kembali aktif di media sosial.
Mereka termasuk beberapa rakan artis yang mendoakan agar beliau terus diberikan kesihatan yang baik dan dipermudahkan segala urusan selepas melalui pelbagai cabaran dalam kehidupan.
Antaranya penyanyi R&B dan Pop Urban Kakazraff, yang dilihat turut gembira dengan kemunculan Yasin dengan memanjat rasa syukur.
“Salam abang..welcome back! Alhamdulillah,” katanya.
Perkongsian mengenai perkembangan dirinya itu memberi gambaran positif, malah beliau kini mula berinteraksi semula dengan peminat menerusi platform digital.
Setakat ini, Yassin belum mendedahkan perancangan lanjut sama ada akan kembali aktif dalam bidang seni atau sekadar berkongsi kandungan di TikTok.
Bagaimanapun, kemunculan sulungnya di platform berkenaan disifatkan sebagai satu permulaan baharu buat anak seni itu.
Yasin pada 22 Ogos 2024 dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan oleh Mahkamah Tinggi, selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan dadah yang dihadapinya.
Hakim Datuk Norsharidah Awang membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya yang sebelum itu melepas dan membebaskan penyanyi serta komposer berkenaan daripada semua pertuduhan.
Pada 29 November 2023, Mahkamah Sesyen Petaling Jaya melepas dan membebaskan Yasin daripada tiga pertuduhan dadah, namun memerintahkan beliau ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, selama tempoh yang diperkenankan Sultan Selangor.
Bagaimanapun, pada 28 April 2025, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Yasin terhadap sabitan dan hukuman yang diputuskan Mahkamah Tinggi Shah Alam. Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali sebulat suara mengetepikan sabitan bersalah serta hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan yang dijatuhkan terhadap penyanyi dan komposer itu.
Mahkamah Rayuan turut mengembalikan keputusan Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 29 November 2023 yang melepas dan membebaskan Yasin daripada tiga pertuduhan dadah atas alasan beliau berada dalam keadaan tidak waras ketika kesalahan dilakukan.
Dalam keputusan sama, mahkamah mengekalkan perintah supaya Yasin ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, mengikut perkenan Sultan Selangor. Mahkamah antara lain menerima keterangan pakar psikiatri forensik bahawa Yasin mempunyai sejarah gangguan bipolar yang didokumenkan sejak beberapa tahun sebelum kejadian.
Awal bulan ini, Yasin dilapor dibenarkan pulang ke rumah selepas lebih empat tahun menjalani rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.
Perkara itu dikongsikan rakannya yang juga bekas anggota kumpulan Brothers, Akbar Azmi menerusi sebuah video yang dimuat naik di laman sosial Threads.