KUALA LUMPUR: Penyanyi dan penerbit tersohor, Datuk Yusry Abdul Halim menekankan bahawa kebolehan untuk berevolusi mengikut peredaran zaman adalah kunci utama bagi seseorang anak seni untuk kekal relevan dalam industri muzik tanah air.
Yusry yang telah berkecimpung selama 34 tahun dalam dunia seni berkata, setiap artis yang ingin bertahan lama dalam industri perlu berani melakukan perubahan tanpa mengetepikan identiti diri mereka.
Beliau menyamakan perkembangan muzik dengan trend fesyen yang sentiasa berubah dan tidak boleh kekal pada satu takuk yang sama dalam tempoh yang lama.
"Muzik ini sebenarnya seperti fesyen. Kalau saya masih menyanyi dengan stail lama, peminat mungkin akan tinggalkan gaya itu.
"Namun, perubahan itu tidak bermakna kita perlu menghilangkan identiti diri sepenuhnya.
"Kita perlu mengikut peredaran masa. Untuk kekal relevan, kita memang kena mengikut evolusi diri sendiri, bukan sekadar mengikut orang lain supaya orang tidak jemu," katanya kepada Astro AWANI pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di majlis perasmian platform Launchpad di Kuala Lumpur pada Isnin.
Mengulas mengenai projek solonya, anggota kumpulan legenda KRU itu menjelaskan bahawa beliau cuba mencari 'cabang' baharu dalam muziknya agar karya yang dihasilkan mempunyai kelainan daripada material asal kumpulan KRU.
"Sebab kalau buat stail KRU, lebih baik kami buat (persembahan) sebagai KRU. Jadi, tujuannya di sini adalah mencari cabang lain supaya masih ada kesinambungan dengan peminat sedia ada tanpa meminggirkan mereka," jelasnya.
Yusry turut percaya adik-beradiknya, Norman dan Edry, mempunyai pemikiran yang sama sekiranya mereka berhasrat untuk menghasilkan projek solo pada masa hadapan.
Menyentuh mengenai genre pilihannya, Yusry berkata akar umbi penulisan lagunya tetap berpaksikan muzik pop meskipun sering dikaitkan dengan R&B dan hip-hop sebelum ini.
Beliau mendedahkan bahawa sebahagian lagu dalam album terbaharunya, 'Internal', merupakan demo daripada zaman KRU yang telah diolah semula dengan susunan muzik baharu agar lebih segar dan sesuai dengan konsep album tersebut.
Selain bidang nyanyian, Yusry turut memberi bayangan akan terus aktif dalam bidang lakonan dan pengarahan dengan beberapa perancangan masa hadapan yang akan diumumkan kelak.