Skip to main content

Malaysia

Launchpad buka peluang artis tempatan tembusi pasaran serantau - Yusry KRU

TB_YUSRI KRU LAUNCHPAD_Launchpad
Yusry berkata, perubahan landskap industri muzik hari ini membuktikan karya tidak lagi terikat dengan perbezaan bahasa dan budaya, sebaliknya mampu diterima menerusi emosi serta nilai universal yang dibawa. - Foto Launchpad
Advertisement

KUALA LUMPUR: Dalam era muzik semakin bergerak tanpa batasan geografi, penyanyi dan komposer, Datuk Yusry Abdul Halim melihat platform persembahan Launchpad sebagai medium strategik untuk memperluaskan capaian muzik tempatan ke pasaran serantau.

Penyanyi dan komposer terkenal, itu, berkata perubahan landskap industri muzik hari ini membuktikan karya tidak lagi terikat dengan perbezaan bahasa dan budaya, sebaliknya mampu diterima menerusi emosi serta nilai universal yang dibawa.

Beliau berkata, walaupun menjadi antara artis paling berpengalaman dalam barisan persembahan Launchpad, usaha ini dilihat sebagai peluang untuk merapatkan jurang antara generasi lama dan baharu.

"Apa yang menarik mengenai Launchpad ialah dua lagi kumpulan yang terbabit, KIIRAS dari Korea Selatan dan UPRIZE dari Vietnam, adalah bakat yang sedang membina nama.

"Mungkin ada yang tertanya-tanya kenapa saya yang sudah 34 tahun dalam industri turut serta dalam platform ini.

"Tetapi saya melihatnya dari sudut positif kerana ia membuka pasaran baharu, lebih-lebih lagi apabila program ini dirancang untuk dikembangkan ke luar negara," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran platform Launchpad di sini, semalam.

Menurut Yusry, 53, sudah tiba masanya muzik Asia Tenggara dilihat sebagai sebuah pasaran besar tanpa dibatasi faktor bahasa mahupun budaya.

"Selama ini budaya dan bahasa seolah-olah mengasingkan kita, sedangkan Asia Tenggara adalah satu pasaran yang besar.

"Korea sudah membuktikan muzik bersifat universal. Anak-anak saya sendiri yang tidak memahami bahasa Korea mendengar lagu-lagu dari negara itu.

"Generasi sekarang menerima muzik sebagai sesuatu yang universal. Kita tidak semestinya perlu memahami setiap perkataan kerana jika memahami muzik itu sendiri, bahasa bukan lagi penghalang," katanya.

Mengulas pemilihannya bersama KIIRAS dan UPRIZE, Yusry mengakui pada awalnya turut mempersoalkan kesesuaian konsep berkenaan dengan dirinya.

Bagaimanapun, selepas memahami objektif penganjur, beliau melihat kolaborasi bersama artis muda sebagai peluang memperkenalkan muziknya kepada kelompok pendengar baharu.

"Sebagai penyanyi, kita perlu sentiasa berkembang. Kalau hanya bergantung kepada peminat sedia ada, mereka memang setia, tetapi apabila mereka semakin berusia, siapa pula yang akan menggantikan mereka?

"Jika dapat satu peratus sahaja daripada penonton muda itu mengenali muzik saya, ia sudah menjadi asas yang baik untuk dibina," katanya.

Launchpad ialah platform pembangunan artis yang direka untuk mempercepatkan perkembangan bakat baharu di peringkat serantau dengan menghubungkan mereka secara langsung kepada penonton, media, jenama dan rakan industri di seluruh Asia Tenggara.

Platform milik Fast Track Entertainment (FTE) dari Singapura bersama rakan penjenamaannya, Sony Music Malaysia itu turut menyediakan penghasilan kandungan digital asli, pendedahan media serantau serta kerjasama strategik bersama jenama bagi membuka peluang komersial baharu kepada artis terbabit.

Must Watch Video

Advertisement