KUALA LUMPUR: Bakal mempelai, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Bella Astillah bakal berkongsi kemeriahan hari bahagia bersama masyarakat menerusi dua majlis ‘Kenduri Rakyat’ di Muar, Johor dan Kota Kinabalu, Sabah.
Pasangan itu bakal diijabkabulkan pada 10 Oktober ini, sebelum mengadakan majlis resepsi di Kuala Lumpur pada 18 Oktober.
Kenduri Rakyat pula dijadualkan berlangsung di Muar pada 25 Oktober dan Kota Kinabalu pada 31 Oktober.
Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar berkata, keputusan mengadakan Kenduri Rakyat dibuat bagi membolehkan kebahagiaan mereka dikongsikan bersama orang ramai yang selama ini memberikan sokongan dan doa.
“Dari awal kalau ikut dari sudut tanggungjawab hakiki adalah nikah untuk menghalalkan hubungan kami berdua.
“Tetapi pada masa yang sama, saya selalu kongsikan kepada bakal isteri saya, kebahagiaan itu perlu dikongsikan kepada semua juga.
“Kerana tanpa doa, sokongan, dorongan mungkin hari ini tidak akan terjadi. Dan ‘the chapter of our future journey’ itu mungkin tidaklah semudah seperti hari ini,” katanya pada Sidang Media Walimatulurus Bella Astillah & Syed Saddiq, di sini.
Menurutnya, kedua-dua majlis berkenaan akan mengetengahkan konsep rewang dengan penduduk setempat turut dijemput bersama-sama menyediakan juadah.
“Bila namanya Kenduri Rakyat, maksudnya kita akan buat rewang juga. Maksudnya orang kampung semua akan dijemput untuk sertai masak sekali.
“Orang kampung semua dijemput hadir supaya kita dapat membumikan majlis perkahwinan ini untuk dinikmati oleh semua di luar sana,” katanya.
Syed Saddiq berkata, persiapan kedua-dua majlis itu dibuat dalam tempoh kurang dua bulan, selain berdepan cabaran mendapatkan lokasi kerana banyak tempat telah ditempah lebih awal.
Beberapa penaja turut membantu menyediakan keperluan kenduri, termasuk sumbangan beras, santan dan roti.
Bagi majlis di Muar, beliau menjangkakan kehadiran lebih tinggi berbanding acara rumah terbuka hari raya yang pernah dianjurkannya sebelum ini dengan kehadiran kira-kira 10,000 orang.
“Di Muar saja dah 10,000 orang. Kalau majlis perkahwinan minimum 20-30,000. Kita akan cuba raikan seramai yang mungkin. First come, first served.
“Dan kalau makanan habis, kami berdua tetap akan berada di sana untuk cuba bersalaman, bersua muka dengan seramai yang mungkin,” ujarnya.
Sementara itu, Bella menjelaskan Kenduri Rakyat di Sabah akan berlangsung di Kota Kinabalu dan bukan di Sandakan, meskipun beliau dilahirkan di Sandakan.
Menurutnya, pakaian tradisional Sabah akan dijadikan tema majlis bagi meraikan kepelbagaian budaya negeri itu.
“Bella memang happy nak buat sebab Bella lahir di Sabah. Tapi ramai orang salah faham Bella akan buat majlis di Sandakan.
“Bella ingin mengambil kesempatan untuk memberitahu, Bella punya majlis nanti di Kota Kinabalu,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Bella menyifatkan kerjasama bersama Astro menerusi program khas perjalanan perkahwinan mereka sebagai peluang untuk berkongsi kisah dengan lebih dekat bersama peminat.
“Bella rasa ini adalah perfect collaboration sebab akhirnya Bella boleh kongsikan dengan peminat, sebab Bella tahu mereka selalu tanya.
“Bella nak cerita, tapi kadang-kadang risau nanti penyampaiannya lain, penerimaannya lain. Jadi Bella rasa Astro banyak membantu dari segi apa yang kita sampaikan,” katanya.
Program berkenaan akan membawa penonton mengikuti perjalanan pasangan itu menerusi beberapa episod, termasuk persiapan menjelang akad nikah, kehidupan selepas bergelar suami isteri serta rakaman majlis resepsi di Muar dan Sabah.
Episod ketiga akan menampilkan siaran langsung pernikahan mereka pada 10 Oktober menerusi Astro AWANI, Astro Ria, Astro Prima dan Astro Gempak, manakala majlis resepsi pada 18 Oktober akan disiarkan secara langsung menerusi Astro Prima dan Astro Gempak.
Pasangan itu sebelum ini mengumumkan bakal melangsungkan pernikahan di aras 118, Menara Merdeka Maybank, Kuala Lumpur, dengan konsep serba putih yang disulami elemen Arab atau Islamik atas permintaan keluarga.
Mereka mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu.