Skip to main content

Malaysia

Wedding of The Year: Hantaran Bella, Syed Saddiq tampil unik, sarat simbolik

Majlis pernikahan pasangan itu berlangsung di aras 118, Menara Merdeka Maybank pada pukul 10.40 pagi dan dihadiri kira-kira 300 orang ahli keluarga, tetamu kehormat dan rakan-rakan terdekat. - Astro AWANI
Majlis pernikahan pasangan itu berlangsung di aras 118, Menara Merdeka Maybank pada pukul 10.40 pagi dan dihadiri kira-kira 300 orang ahli keluarga, tetamu kehormat dan rakan-rakan terdekat. - Astro AWANI

Advertisement

Ringkasan AI

  • Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Bella Astillah sah bergelar suami isteri pada Sabtu dengan sekali lafaz di Menara Merdeka Maybank.
  • Majlis pernikahan dihadiri kira-kira 300 tetamu, dengan sembilan dulang hantaran daripada Bella dan tujuh dulang daripada Syed Saddiq.
  • Hantaran pasangan itu menampilkan simbolik minat, impian serta perancangan masa depan, termasuk cincin emas, tajaan pengajian dan penyertaan triatlon.

KUALA LUMPUR: Sebanyak sembilan dulang hantaran daripada pihak penyanyi dan pelakon, Bella Astillah, dibalas tujuh dulang daripada pihak suaminya, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, sempena majlis pernikahan pasangan itu pada Sabtu.

Hantaran yang disediakan bukan sekadar hadiah perkahwinan, sebaliknya membawa simbolik tersendiri yang mencerminkan minat, impian serta perancangan masa depan pasangan berkenaan.

Antara hantaran daripada Syed Saddiq kepada Bella ialah cincin emas eksklusif tempahan khas daripada Goldfish Jewelry menggunakan emas tulen AU999, sebagai simbol ikatan cinta abadi.

Turut disertakan ialah tajaan pengajian pascasiswazah peringkat Sarjana Komunikasi melalui sistem APEL di School of Media and Communication (SOMAC), Fakulti Sains Sosial dan Pengurusan Masa Lapang, Taylor’s University.

Selain itu, Syed Saddiq menghadiahkan set gimnasium di rumah untuk Bella dan anak-anaknya, Aiden serta Ara, selain kerusi urut untuk kegunaan Bella, anak-anak dan kedua-dua ibu bapa pasangan itu.

Hantaran lain termasuk basikal yang melambangkan minat berbasikal bersama serta impian mengembara ke seluruh dunia, simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM100,000 untuk jaminan kewangan masa depan Bella, serta pakej umrah untuk pasangan itu yang ditaja Qashwa Travel Sdn. Bhd.

Sementara itu, antara hantaran daripada Bella kepada Syed Saddiq ialah cincin emas eksklusif tempahan khas daripada Goldfish Jewelry, sepasang kasut Christian Louboutin, naskhah al-Quran dan minyak wangi.

Bella turut menyediakan e-book dan cermin mata yang mencerminkan minat suaminya terhadap pembacaan serta aktiviti sukan, selain coklat istimewa sebagai pelengkap hantaran.

Turut mencuri perhatian ialah emas tulen AU999 bertemakan Iron Man Malaysia, tempahan khas daripada Goldfish Jewelry yang membawa simbolik gelaran berkenaan serta impian Syed Saddiq untuk menjadi Iron Man Malaysia.

Lebih istimewa, Bella turut menghadiahkan penyertaan acara triatlon kepada suaminya, sebagai tanda sokongan terhadap minat dan impiannya dalam sukan lasak itu.

Acara berkenaan merangkumi renang sejauh 10 kilometer, berbasikal sejauh 421 kilometer dan larian sejauh 84.4 kilometer, dengan jarak keseluruhan 515.4 kilometer.

Pasangan itu turut mengenakan busana tajaan HijabistaHub bagi menyerikan majlis pernikahan mereka.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Bella Astillah, sah bergelar suami isteri pada Sabtu dengan sekali lafaz.

Kedua pasangan itu dinikahkan oleh Datuk Seri Zulkifli Mohamad al-Bakri dengan mas kahwin sebanyak RM500.

Majlis pernikahan pasangan itu berlangsung di aras 118, Menara Merdeka Maybank pada pukul 10.40 pagi dan dihadiri kira-kira 300 orang ahli keluarga, tetamu kehormat dan rakan-rakan terdekat.

 

 

Must Watch Video

Advertisement