DUBAI: Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai (DXB) mencatatkan jumlah penumpang tertinggi dalam sejarahnya pada 2025, dengan 95.2 juta pengembara melalui terminalnya, sekali gus mengekalkan gelaran sebagai lapangan terbang antarabangsa paling sibuk di dunia.
Angka itu merupakan peningkatan 3.1 peratus berbanding tahun sebelumnya dan menandakan tahun penuh rekod bagi Dubai, yang turut menyaksikan lonjakan pelancong antarabangsa serta pertumbuhan kukuh sektor hartanah dan perniagaan.
Advertisement
Menurut Dubai Airports, prestasi 2025 bukan hanya disumbangkan oleh satu tempoh puncak, tetapi konsisten sepanjang tahun — dengan hari, bulan, suku dan tahun tercatat sebagai paling sibuk dalam sejarah operasi DXB.
Disember menjadi bulan paling sibuk dengan 8.7 juta penumpang, meningkat 6.1 peratus berbanding tempoh sama pada 2024. Suku keempat turut mencatatkan 25.1 juta penumpang, peningkatan 5.9 peratus tahun ke tahun.
India kekal sebagai pasaran penumpang terbesar dengan 11.9 juta pengembara, diikuti Arab Saudi (7.5 juta) dan United Kingdom (6.3 juta).
Secara keseluruhan, DXB disambungkan ke 291 destinasi di 110 negara melalui 108 syarikat penerbangan, menjadikannya antara hab paling berhubung di dunia.
Ketua Pegawai Eksekutif Dubai Airports, Paul Griffiths, menyatakan bahawa DXB telah menunjukkan “trafik rekod bukan lagi pengecualian, tetapi realiti operasi” dan menjangka jumlah penumpang menghampiri 99.5 juta pada 2026.
Dubai kini bersiap sedia untuk memindahkan operasi ke Lapangan Terbang Al Maktoum yang bakal melalui pembangunan bernilai AS$35 bilion menjelang 2032 untuk menyokong kapasiti sehingga 260 juta penumpang.