ANKARA: Empat wanita mendakwa pelakon dan pemuzik pemenang Anugerah Oscar Jared Leto melakukan salah laku seksual yang boleh dianggap sebagai kesalahan jenayah, menurut sebuah dokumentari BBC, lapor Anadolu Ajansi.
Kesalahan itu didakwa berlaku antara 2002 hingga 2016 ketika mereka masih remaja.
Dokumentari BBC bertajuk Jared Leto: Hollywood's Dark Secret menampilkan temu bual dengan 10 wanita, dengan sembilan daripada mereka tampil membuat pendedahan secara terbuka buat kali pertama.
Empat wanita itu mendakwa Leto melakukan perbuatan yang boleh dikategorikan sebagai kesalahan jenayah, termasuk serangan seksual, rogol statutori dan memerangkap kanak-kanak untuk tujuan eksploitasi seksual.
Seorang wanita mendakwa Leto menyerangnya secara seksual di bilik air sebuah motel ketika beliau berusia 17 tahun, manakala seorang lagi mendakwa pelakon itu mengugut untuk melakukan serangan seksual terhadapnya ketika beliau berusia 19 tahun.
Seorang lagi mendakwa beliau mengadakan hubungan seks dengan Leto di California ketika berusia 17 tahun, iaitu di bawah umur sah untuk memberikan persetujuan di negeri itu, manakala wanita keempat menuduh pelakon berkenaan memerangkapnya untuk tujuan eksploitasi seksual menerusi panggilan telefon berunsur lucah yang dilakukan berulang kali ketika beliau berusia 16 tahun.
Penyiar itu memaklumkan pihaknya telah meneliti gambar, mesej dan keterangan saksi yang didakwa menyokong sebahagian daripada dakwaan wanita berkenaan. Dokumentari itu turut memuatkan temu bual dengan bekas anggota pasukan jelajah Leto yang menyuarakan kebimbangan terhadap interaksinya dengan peminat wanita muda.
Leto, 54, sebelum ini menafikan dakwaan salah laku seksual menerusi wakilnya, yang menyifatkan dakwaan terdahulu sebagai "jelas tidak benar".
BBC memaklumkan pelakon itu tidak memberi maklum balas terhadap permintaan pihaknya untuk mendapatkan komen mengenai dakwaan terbaharu sebelum dokumentari itu disiarkan. Setakat ini, tiada pertuduhan jenayah difailkan terhadap Leto berhubung dakwaan berkenaan.
-- BERNAMA-ANADOLU