Skip to main content

Hiburan

Enam judul filem tempatan terima ITFC 2.0 berjumlah RM1.2 juta

Pengerusi FINAS Datuk Dr Hans Isaac (empat, kanan) bergambar bersama para penerima Insentif Tayangan Filem Cereka di Menara FINAS Damansara hari ini. - Foto Bernama
Pengerusi FINAS Datuk Dr Hans Isaac (empat, kanan) bergambar bersama para penerima Insentif Tayangan Filem Cereka di Menara FINAS Damansara hari ini. - Foto Bernama

Advertisement

Ringkasan AI

  • FINAS menyalurkan Insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC 2.0) berjumlah RM1,218,259.40 kepada enam judul filem tempatan bagi tahun 2026.
  • Insentif ini diberikan berdasarkan kutipan tiket filem yang diaudit, bertujuan menggalakkan penghasilan karya berkualiti oleh penerbit tempatan.
  • Jumlah insentif ITFC meningkat 37.58 peratus pada 2025, dengan peningkatan bilangan filem penerima daripada 44 kepada 50 judul.

KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) menyalurkan Insentif Tayangan Filem Cereka (ITFC 2.0) Bilangan 2 Tahun 2026 berjumlah RM1,218,259.40 kepada enam judul filem tempatan.

Pengerusinya Datuk Dr Hans Isaac berkata inisiatif itu diharap dapat mendorong penggiat industri perfileman tanah air untuk terus menghasilkan karya berkualiti.

“Pembayaran ITFC kepada penerbit dibuat berdasarkan kutipan tiket filem yang telah diaudit, sekali gus memberi pulangan kepada penerbit selepas karya mereka ditayangkan di pawagam.

“Jadi kita yakin langkah ini dapat memberi semangat kepada industri serta penerbit dalam menghasilkan filem-filem mereka yang seterusnya, serta harap filem itu juga berkualiti,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian insentif itu di Menara FINAS hari ini.

Senarai penerima ITFC 2.0 ialah filem Malam Terlarang (Infinitus Gold Sdn Bhd & Astro Shaw Sdn Bhd), Key to Happiness (Flaming Light Sdn Bhd) dan I’m not Gangster (Dissy Definition Film Sdn Bhd).

Tiga penerima lain ialah Mah’s Journey (FBE Entertainment Group Sdn Bhd), White (FBE Entertainment Group Sdn Bhd) dan Our Crazy Adventure (De Kangaroo Production Sdn Bhd). 

Hans berkata mengikut pembayaran ITFC, jumlah insentif itu meningkat daripada RM2,363,791.41 pada  2024 kepada RM3,252,091.23 pada 2025.

“Pertambahan RM888,299.82 atau 37.58 peratus itu disertai peningkatan bilangan filem dalam rekod penerimaan daripada 44 kepada 50. Tahun 2026 jumlah ITFC 2.0 bagi dua pusingan mencecah RM1,493,977.90, merangkumi 18 filem berdasarkan rekod.

“Bagi kami jika lebih banyak ITFC itu diberi, kita boleh nampak kemajuan kepada industri. Jadi, kita boleh nilaikan daripada data itu,” katanya.

ITFC ialah insentif tambahan kepada pengeluar filem tempatan berdasarkan kutipan tiket tayangan filem serta syarat kelayakan di bawah Skim Wajib Tayang yang merupakan inisiatif Kementerian Komunikasi menerusi FINAS bagi membantu dan menggalakkan penerbit filem menghasilkan filem cereka tempatan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement