Skip to main content

Hiburan

Festival Filem Raintown didik masyarakat hargai karya indie tempatan

FESTIVAL FILEM RAINTOWN
RFF 2026 dianjurkan oleh WuBen Film Magazine dan Studio 1914 dengan sokongan strategik daripada WCE dan mendapat sokongan Kerajaan Negeri Perak, Port Ipoh, Ahli Parlimen Taiping serta pelbagai rakan industri. - Gambar Bernama
Advertisement

TAIPING: Penganjuran Festival Filem Raintown (RFF) di sini sejak tiga tahun lepas bertujuan memberi kefahaman dan pengetahuan kepada masyarakat mengenai fungsi serta peranan filem supaya melihat karya indie sebagai medium penceritaan bernilai tinggi. 

Pengasas RFF, Jacky Yeap Swee Leong berkata, industri filem negara tidak pernah berhadapan isu kekurangan bakat atau penerbit filem baharu, sebaliknya cabaran utama yang masih dihadapi ialah membina kelompok penonton berkualiti yang memahami maksud karya yang dihasilkan.

“Langkah membawa karya seni ke daerah kecil seperti Taiping membolehkan masyarakat awam merasai sendiri peranan filem dalam memaparkan isu kemasyarakatan, budaya dan nilai kemanusiaan menerusi tayangan percuma.

“Festival ini juga tidak sekadar tertumpu kepada tayangan filem, sebaliknya juga melibatkan sesi dialog, bengkel penulisan dan perkongsian ilmu secara bersemuka bersama-sama barisan pengarah serta warga kerja filem berpengalaman,” katanya kepada Bernama di sini malam tadi.

Pengarah filem Sometimes Sometimes yang pernah tercalon dalam Anugerah Bakat Baharu Asia di Festival Filem Antarabangsa Shanghai 2023 itu berkata, RFF mula dianjurkan bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-150 bandar Taiping pada 2024.

Anak jati Taiping yang berpengalaman lebih 11 tahun dalam industri perfileman tempatan berkata, festival itu diasaskan atas kesedaran untuk menyumbang kepada bandar itu yang kaya dengan nilai sejarah dan kebudayaan serta identiti tersendiri.

Yeap berkata, dua edisi awal festival itu menumpukan kepada tayangan filem tempatan yang menjalani penggambaran di Taiping sebelum melangkah lebih jauh dengan penganjuran pertandingan filem pendek bertemakan After the Rain (Selepas Hujan) yang mewajibkan penceritaan berteraskan identiti serta persekitaran bandar Taiping.

Pertandingan itu menerima sambutan luar biasa apabila mencatatkan penyertaan 150 peserta melibatkan pelbagai genre merangkumi filem pendek dan dokumentari sebelum 20 karya terbaik disenarai pendek untuk tayangan dan penilaian.

Selain itu, Yeap berkata, edisi ketiga RFF memperkenalkan projek creative sandbox membabitkan penuntut jurusan perfileman daripada IACT College sebagai pendedahan kepada penganjuran festival dan industri kreatif yang diharapkan dapat dikembangkan menjadi platform khusus menarik penyertaan lebih banyak institusi pengajian tinggi.

Yeap berkata, penganjuran edisi ketiga selama tiga hari bermula semalam dijangka dihadiri lebih 2,000 penonton berdasarkan jumlah pendaftaran tiket. 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim berkata, penganjuran RFF berpotensi memberikan manfaat kepada sektor pelancongan dan ekonomi tempatan menerusi peningkatan pengunjung ke Taiping.

“Festival filem yang berjaya bukan sahaja memberi manfaat kepada penerbit filem, malah membawa pengunjung, menyokong perniagaan tempatan dan membuka peluang baharu kepada Taiping,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif West Coast Expressway (WCE), Lyndon Alfred Felix berkata, Taiping mempunyai kedudukan istimewa kepada mereka kerana jajaran Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) yang bermula di Banting, Selangor merentasi pesisir barat menuju ke pintu masuk utaranya di Taiping.

“Lebuh raya mungkin perniagaan kami tetapi komuniti adalah nadi kepada apa yang kami lakukan. Jalan raya menghubungkan tempat dan cerita yang menghubungkan masyarakat,” katanya.

RFF 2026 dianjurkan oleh WuBen Film Magazine dan Studio 1914 dengan sokongan strategik daripada WCE dan mendapat sokongan Kerajaan Negeri Perak, Port Ipoh, Ahli Parlimen Taiping serta pelbagai rakan industri.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement