LOS ANGELES: Pengarah Hollywood, Chuck Russell, yang dikenali menerusi filem ikonik "The Mask", disahkan meninggal dunia pada usia 74 tahun di kediamannya di San Diego, California.
Berita kematiannya disahkan peguam dan ahli keluarga selepas pihak bomba menerima laporan membabitkan seorang lelaki yang ditemukan tidak sedarkan diri di rumah berkenaan pada Rabu.
Punca kematian mendiang bagaimanapun masih belum diumumkan.
Pemergian Russell menerima penghormatan daripada beberapa tokoh industri perfileman, termasuk bintang utama "The Mask", Jim Carrey.
Carrey berkata beliau berasa bertuah dapat bekerjasama dengan Russell dan menyifatkan pengalaman menghasilkan "The Mask" sebagai antara detik paling berharga dalam kerjayanya.
"Saya menganggapnya sebagai satu keistimewaan dapat bekerja dengan Chuck Russell, yang mewujudkan suasana penuh keajaiban dan semangat setiakawan di set penggambaran The Mask.
"Saya menganggap The Mask sebagai salah satu permata dalam kehidupan kreatif saya. Terima kasih, Chuck."
Sepanjang kerjayanya, Russell membantu melonjakkan populariti Jim Carrey dan Cameron Diaz menerusi "The Mask" pada 1994.
Beliau juga mengarahkan "Eraser" lakonan Arnold Schwarzenegger serta "The Scorpion King", yang menjadi filem utama pertama Dwayne "The Rock" Johnson.
Russell turut dikenang menerusi karya seperti "A Nightmare on Elm Street 3: Dream Warriors" dan "The Blob", yang memperoleh status kultus dalam kalangan peminat filem seram.
Mendiang meninggalkan isteri, Ania, serta tiga anak iaitu Logan, Riley dan Carlyn.