KUALA LUMPUR: Pengalaman dibogelkan ketika pemeriksaan keselamatan, hidup dalam persekitaran yang keras serta ketidakpastian mengenai masa depan menjadi antara kenangan paling sukar untuk dilupakan penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman.
Selepas melalui empat tahun setengah yang penuh ujian, Yasin, 51, mengakui kehidupan di sebalik tirai besi mengubah banyak perkara dalam dirinya, malah pernah membuatkan beliau merasakan hidupnya sudah sampai ke penghujung.
“Penjara bukan tempat yang senang. Keadaannya sangat mencabar dan memberi kesan yang mendalam kepada saya.
“Kalau boleh, jangan masuk penjara. Itu sahaja yang boleh saya katakan,” ujarnya ketika ditemui media pada pementasan teater muzikal Mansur dan Liu karya dan arahan Datuk M. Nasir di Istana Budaya, di sini, malam tadi.
Ia merupakan kemunculan awam pertama Yasin sejak dibebaskan daripada Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak pada 2 September lalu. Penyanyi itu hadir ditemani pengurusnya, Iman Tang.
Berkongsi pengalaman yang disifatkannya sebagai episod paling sukar dalam hidup, Yasin berkata, beliau pernah berada pada titik paling gelap apabila dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan membayangkan masa depannya berakhir di dalam penjara.
“Saya dijatuhkan hukuman 30 tahun penjara. Ketika itu saya memang hilang harapan.
“Kalau hukuman itu kekal, saya akan berada dalam penjara sehingga umur saya 80 tahun. Itu pun kalau panjang umur. Kalau tidak, mungkin saya meninggal dunia dalam penjara.
“Saya tak dapat gambarkan perasaan itu dengan kata-kata. Saya rasa seperti tiada penyelesaian lagi. Sebab itu saya pernah terfikir, kalau perlu menunggu 30 tahun dalam penjara, lebih baik saya digantung sampai mati,” katanya.
Menurut Yasin, perjalanan yang dilaluinya sangat berliku apabila beliau ditempatkan di Penjara Sungai Buloh sebelum dipindahkan ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, kemudian ke Penjara Kajang sebelum kembali semula ke hospital berkenaan.
Katanya, ketika hukuman dijatuhkan, beliau benar-benar merasakan hidupnya sudah berakhir.
“Saya boleh rasa tekanan itu. Darah dan tekanan darah saya naik mendadak. Apabila dibawa semula ke lokap, saya hanya mampu baring kerana tidak dapat mengendalikan tekanan dan emosi yang sedang saya lalui ketika itu,” katanya.
Namun, di sebalik kegelapan yang menyelubungi dirinya, Yasin menemukan pegangan untuk terus bertahan.
Sepanjang berada di Penjara Kajang, katanya, beliau banyak berdoa dan mendekatkan diri kepada Tuhan ketika berdepan detik paling getir dalam hidupnya.
“Saya banyak berdoa, bersolat bersungguh-sungguh dan mendekatkan diri kepada Ilahi.
“Apabila hukuman itu dijatuhkan, saya benar-benar rasa sudah tiada jalan keluar,” katanya.
Sinar harapan akhirnya muncul apabila Mahkamah Rayuan menerima laporan forensik daripada Hospital Bahagia Ulu Kinta dan membebaskannya.
Lebih manis, pembebasan penuh beliau kemudian diperkenankan Sultan Selangor selepas semua prosedur rawatan serta penilaian yang ditetapkan selesai dijalankan.
“Saya tidak diberi laluan mudah. Saya ikut semua prosedur yang ditetapkan.
“Pihak hospital telah berpuas hati dengan perkembangan rawatan saya. Mereka membuat penilaian yang menyeluruh sebelum proses pembebasan diluluskan,” katanya.
Kini, seminggu selepas kembali menikmati kebebasan, Yasin mengakui hidupnya dipenuhi kesibukan yang sudah lama dirindui.
Katanya, banyak perkara perlu diuruskan semula termasuk keluarga, kerjaya seni dan studio rakamannya yang ditinggalkan sepanjang tempoh tersebut.
“Empat tahun setengah itu satu tempoh yang panjang. Jadi banyak perkara yang perlu disusun semula,” katanya.
Dalam tempoh yang penuh kesunyian itu juga, Yasin tidak membiarkan dirinya tenggelam dalam keputusasaan.
Selain menghasilkan pelbagai lagu baharu, beliau turut menyiapkan sebuah autobiografi setebal kira-kira 400 halaman yang merakam perjalanan hidupnya.
Menurutnya, buku itu memberi penekanan kepada pengalaman berdepan isu kesihatan mental, sesuatu yang dianggap penting untuk dikongsikan kepada masyarakat.
“Saya mahu orang tahu bahawa masih ada harapan.
“Ramai yang rasa hidup sudah berakhir apabila didiagnosis dengan gangguan mental seperti bipolar. Saya pun pernah berada dalam keadaan itu.
“Tetapi sebenarnya masih ada harapan jika kita mendapatkan rawatan yang betul dan tidak berputus asa,” katanya.
Bagi Yasin, kebebasan yang dinikmatinya hari ini bukan sekadar bebas daripada tahanan.
Lebih besar daripada itu, ia adalah peluang kedua untuk meneruskan kehidupan, memperbaiki diri dan berkongsi harapan kepada mereka yang sedang bergelut dengan ujian masing-masing.