Liverpool dalam perlumbaan mendapatkan khidmat penyerang Burnley, Danny Ings dan berita itu mula tersebar sejak semalam.

Ramai peminat yang tidak berpuas hati dengan keputusan pengurus Liverpool, Brendan Rodgers dan reaksi orang ramai dapat dibaca di Twitter.

Bagi orang ramai, pemain England bawah 21 tahun itu bukanlah pemain bertaraf dunia yang diperlukan untuk memperkuatkan jentera serangan Liverpool buat masa ini.
Ada yang sanggup untuk berhenti menyokong Liverpool jika Ings menjadi pemain kelab itu.

Namun apa yang paling mencetuskan rasa tidak puas hati ialah Liverpool sanggup membeli pemain itu bulan ini dan pinjamkan Ings kembali kepada Burnley sehingga tamat musim ini.

Bagi mereka ia bukan satu perkembangan yang positif dalam mengukuhkan jentera serangan yang tumpul.

Membeli dan meminjam semula pemain kepada kelab asal merupakan perjanjian yang sama dilakukan Rodgers ketika menandatangani Divock Origi dari Lille tahun lalu.

Liverpool kini berdepan kemarau gol berbanding musim lalu selepas menjual penyerang berbisa, Luis Suarez kepada Barcelona.