Ahli Parlimen DAP Puchong, Gobind Singh Deo menyatakan hudud sebagai faktor kekalahan DAP dalam PRK Teluk Intan. Katanya, DAP telah kehilangan 25 peratus undi bukan Melayu dalam PRK itu.

Bagaimana dengan kita? Apakah kita bersetuju dengan pandangan Gobind?

Bahaslah tentang faktor kekalahan DAP di Teluk Intan. Pelbagai faktor yang boleh kita hujahkan. Tetapi pada saya, bukan soal kekalahan DAP di Teluk Intan yang mustahak.

Yang mustahak pada saya ialah sampai bilakah PAS akan menggunakan isu hudud ini untuk menarik sokongan pengundi Melayu? Sampai bilakah DAP akan menolak hudud untuk mengekalkan sokongan bukan Melayu kepadanya? Dan sampai bilakah UMNO akan menggunakan isu ini untuk melaga-lagakan PAS dan DAP?

********

Sebelum ini PAS sudah nekad untuk membawa rang undang-undang persendirian Hudud ke Dewan. UMNO juga sudah menyatakan kesediaannya untuk menyokong rang undang-undang persendirian PAS itu.

Tiba-tiba dalam UMNO menyatakan sokongan tersebut, PAS menangguhkan hasratnya untuk membawa rang undang-undang persendirian ini sehinggalah jawatankuasa teknikal pusat--negeri selesai meneliti rang undang-undang ini.

Bilakah Jawatankuasa Teknikal ini akan selesai menjalankan penelitiannya tidak kita ketahui. Kita tidak diberikan tarikh pasti. Maka, tertunggulah kita kesudahan tentang permainan politik hudud ini.

********

Saya hendak sangat mengetahui kesudahan kajian Jawatankuasa Teknikal pusat-negeri ini kerana saya tidak mahu lagi isu hudud dijadikan sebagai modal politik oleh mana-mana parti pun. Jika serius hendak buat, buatlah.

Jika hasil kajian Jawatankuasa Teknikal mendapati belum sesuai kerana struktur masyarakat Malaysia yang majmuk, maka berikanlah hujahnya kepada rakyat. Rakyat mahu tahu alasan tersebut. Jika bersetuju untuk diteruskan, didiklah rakyat supaya rakyat boleh faham tentang hudud.

Janganlah kerana perbezaan pandangan tentang isu hudud ini, maka orang Melayu-Islam terus berpecah politiknya hanya kerana kelainan tafsiran tentang keperluan hudud dalam pemerintahan.

Kita perlu bersatu dalam menyelesaikan masalah hudud ini supaya rakyat tidak celaru. Kita tidak mahu isu hudud ini diselesaikan macam kes isu Cadbury diselesaikan, sekejap haram kerana ada DNA babi, sekejap halal kerana tidak ada DNA babi.

***********

Semoganya isu hudud ini boleh segera diselesaikan supaya apabila ada lagi PRK, hudud tidak lagi dipersalahkan sebagai faktor kekalahan mana-mana parti pun dalam pilihan raya.

Sesungguhnya kenyataan Gobind membuatkan saya berazam untuk melihat PAS dan UMNO bersatu dalam menyelesaikan isu ini. Bolehkah? Bilakah? Saya tiada jawapan setelah menunggunya sekian lama.