Skip to main content

Malaysia

Anwar, Shehbaz bincang perkembangan kesihatan dan ketegangan serantau

Shehbaz Sharif
Menurut Anwar, kedua-dua pihak turut membincangkan perkembangan hubungan Iran-Amerika Syarikat serta menegaskan kepentingan libat urus berterusan bagi meredakan ketegangan. - Gambar Facebook Anwar Ibrahim
Advertisement

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengadakan perbualan telefon dengan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, yang bertanyakan perkembangan kesihatannya.

Anwar berkata beliau menghargai doa serta kiriman bunga dan buah-buahan daripada Shehbaz, selain memaklumkan bahawa beliau kini dalam proses pemulihan.

“Saya sempat berhubung menerusi panggilan telefon dengan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif, yang bertanyakan perkembangan kesihatan saya," kata Anwar menerusi hantaran di media sosialnya.

Dalam perbualan itu, kedua-dua pemimpin turut bertukar pandangan mengenai perkembangan semasa di rantau ini serta bersetuju bahawa segala ketegangan perlu ditangani secara cermat menerusi dialog dan diplomasi.

Menurut Anwar, kedua-dua pihak turut membincangkan perkembangan hubungan Iran-Amerika Syarikat serta menegaskan kepentingan libat urus berterusan bagi meredakan ketegangan.

“Selat Hormuz pula mesti kekal terbuka dan selamat bagi menjamin kelancaran perdagangan antarabangsa,” katanya.

Dalam pada itu jelasnya, Malaysia dan Pakistan bersetuju memperhebat kerjasama perdagangan dan ekonomi yang masih mempunyai potensi besar untuk diteroka, termasuk memperluas eksport daging Pakistan ke Malaysia.

Anwar berkata segala komitmen yang dicapai perlu diterjemahkan segera kepada hasil nyata yang memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

“Malaysia akan terus mendukung Pakistan sebagai negara sahabat dan rakan penting, insya-Allah," jelasnya.

Must Watch Video

Advertisement