ANTARA pelbagai berita dalam negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang Jumaat, 21 Ogos 2026.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji (TH) direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berhubung laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja TH.
2. Kes denggi meningkat 56.2 peratus, KKM perkukuh tindakan kawalan
Kementerian Kesihatan Malaysia memperkukuh langkah pencegahan dan kawalan demam denggi susulan peningkatan ketara kes di seluruh negara dengan 58,079 direkodkan sehingga Minggu Epidemiologi ke-32 tahun ini.
3. Eksport Malaysia melonjak 29.2%, lepasi RM1 trilion dalam tujuh bulan pertama 2026
Prestasi perdagangan luar Malaysia mencatat rekod baharu apabila eksport negara melonjak 29.2 peratus kepada RM1.165 trilion bagi tempoh Januari hingga Julai 2026, sekali gus melepasi paras RM1 trilion lebih awal berbanding tahun lalu.
4. Siasatan TH, FELDA perlu segera, telus dan tindakan berdasar fakta - Anwar
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan siasatan berhubung isu membabitkan Lembaga Tabung Haji (TH) dan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) perlu dilaksanakan secara menyeluruh bagi memastikan setiap kelemahan dapat dikenal pasti sebelum tindakan susulan diambil.
5. Kerajaan cabar penilaian tanah Enklaf Duta oleh penilai Semantan
Kerajaan pada Jumaat mempersoalkan kadar RM6,000 seekar yang diguna pakai seorang penilai hartanah berlesen, ketika membuat penilaian tanah di Enklaf Duta pada tahun 1956, dengan membangkitkan bahawa beberapa transaksi setanding yang dipetik dalam laporannya sendiri, dinilai lebih rendah daripada kadar tersebut.
6. PDRM buka 5 kertas siasatan kes tabung haji, 127 diambil keterangan
Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) membuka lima kertas siasatan berhubung kes melibatkan Lembaga Tabung Haji (TH), termasuk perkara yang dinyatakan dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai TH.
7. Kerjasama Petronas Carigali dan Brunei dimuktamad, dijangka hasilkan gas pertama 2029
Pengeluaran gas pertama daripada pembangunan Kluster Kelidang di perairan Brunei Darussalam dijangka bermula pada separuh pertama 2029, selepas semua perjanjian berkaitan kerjasama Petronas Carigali di negara itu dimuktamadkan.
8. Kes Jana Wibawa: MoF dapat arahan 'pihak atasan' proses permohonan syarikat disyorkan PMO - Saksi
Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa Kementerian Kewangan (MoF) mendapat arahan 'pihak atasan' untuk hanya memproses permohonan yang disyorkan daripada Pejabat Perdana Menteri (PMO) bagi projek di bawah Program Jana Wibawa.
9. 'Daripada papa kepada oppa' - Papa Zola The Movie tembusi Korea Selatan
Filem animasi tempatan Papa Zola The Movie terus melakar kejayaan di peringkat antarabangsa apabila bakal ditayangkan di pawagam seluruh Korea Selatan bermula 2 September depan.
10. Jerebu rentas sempadan: Malaysia utus surat ke Indonesia, Sekretariat ASEAN
Malaysia menerusi Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) akan menghantar surat kepada Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn dan Kerajaan Indonesia berhubung keadaan kebakaran hutan serta jerebu rentas sempadan yang melanda negara terutama Sarawak ketika ini.