Keadaan banjir di Sabah dan Sarawak beransur reda berikutan jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan di dua negeri itu semakin menurun berbanding pagi tadi.

Di Sabah, jumlah mangsa menurun kepada 682 orang berbanding 1,233 orang pagi tadi, dan di Sarawak jumlah mangsa menurun kepada 1,587 orang daripada 1,684 orang pagi ini.

Di SABAH, jurucakap Bilik Gerakan Banjir Beaufort berkata satu pusat pemindahan sahaja beroperasi di daerah berkenaan iaitu di Dewan SMK Gadong menempatkan 58 orang manakala pusat pemindahan di Dewan Baru Membakut dan SMK Beaufort Dua merekodkan jumlah mangsa 314 orang.

"Pusat pemindahan Dewan Kampung Kukut juga ditutup jam 9 pagi tadi," katanya.

Di SARAWAK, bahagian Samarahan masih mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 788 orang, Limbang (475), Miri (249) dan Mukah (75).

Di KELANTAN, jumlah mangsa banjir masih kekal 255 orang melibatkan 62 keluarga yang ditempatkan di lapan pusat pemindahan di Kuala Krai.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan berkata sehingga 8 pagi tadi, kesemua mangsa masih ditempatkan di dewan sekolah, kilang dan masjid ekoran rumah mereka hanyut atau rosak teruk akibat banjir bulan lepas.