Biarpun cuaca hari ini agak cerah dan tidak hujan di beberapa kawasan di negeri Sarawak, namun jumlah mangsa yang dipindahkan akibat banjir terus meningkat kepada 10,451 orang pada sebelah petang berbanding 6,952 orang pada sebelah pagi.

Jumlah tersebut adalah setakat 6.30 petang tadi yang melibatkan empat daerah yang terdiri daripada 2,397 keluarga.

Mangsa telah ditempatkan di 54 pusat pemindahan dengan bantuan dari pelbagai agensi penyelamat.

Peningkatan berkenaan adalah disebabkan terdapat beberapa kawasan terutama di pedalaman negeri berkenaan mengalami hujan yang menyebabkan air sungai menaik kerana bertembung dengan fenomena air pasang besar yang berlaku pada hari ini setinggi enam meter sekitar jam 5 petang Selasa.

Menurut DSP Abdul Razak Bin Abdul Wahab yang merupakan pegawai di bilik operasi bencana Majlis Keselamatan Negara Sarawak ketika dihubungi menyatakan bahawa, peningkatan jumlah mangsa dipindahkan banyak tertumpu di kawasan Bau dan Padawan yang terletak kira kira 50 kilometer dari bandar Kuching.

Mengikut pecahan, Kuching masih mendahului dengan jumlah teramai mangsa dipindahkan iaitu sebanyak 7,337 orang dari 1,612 keluarga yang mana sebanyak 35 pusat pemindahan telah dibuka diikuti dengan bahagian Samarahan iaitu sebanyak 2,084 orang mangsa dari 512 keluarga dan 14 buah pusat pemindahan.

Selain itu, di Limbang seramai 925 orang mangsa telah dipindahkan dan seramai 105 orang mangsa dari 33 keluarga di dua pusat pemindahan di Mukah.

Sebanyak 32 buah sekolah telah ditutup akibatkan terjejas banjir manakala sebanyak 44 buah sekolah masih lagi beroperasi.