Fokus harus diberi kepada golongan wanita muda terutama berumur bawah 40 tahun pada pembentangan Bajet 2016 yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merangkap Menteri Kewangan pada Jumaat.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, beberapa pengumuman Najib juga diharap dapat memberi sedikit sebanyak kesan positif terhadap peningkatan kos sara hidup golongan sasar sekali gus memberi pulangan terutama dalam ekonomi negara.

"Antara sasaran anak muda terutama wanita muda yang berkeluarga dan mempunyai anak adalah isu pusat penjagaan anak.

"Beberapa inisiatif diharap dapat diumum supaya mengurangkan beban kos sara hidup terutama d bandar-bandar besar negara ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu katanya, Program Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) yang diperkenalkan sejak 2011 harus dipergiatkan dengan lebih banyak penglibatan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

"Ia usaha berterusan untuk mengurangkan statistik pengangguran siswazah yang sekian lama menjadi salah satu isu negara.

"Selain SL1M, program-program lain yang berkaitan juga harus dipertingkatkan atau pengenalan program baru untuk memastikan isu pengangguran anak muda segera menemui noktahnya," jelasnya.

Ujar Mas Ermieyati lagi, kerajaan sewajarnya memberi lebih penekanan dan melihat beberapa inisiatif dari percambahan usahawan-usahawan muda atas talian sebagai langkah pengembangan sektor ekonomi negara.

"Kerajaan harus memberi perhatian sewajarnya dengan memperkenalkan skim serta bantuan dalam membantu mereka mengembangkan sektor perniaagan yang mereka ceburi," katanya.

Dalam pada itu, Mas Ermieyati turut berharap Bajet 2016 dapat memberi sinar baru kepada golongan muda seiring dengan transformasi ke arah negara maju menjelang 2020.