Bajet 2017 akan mengutamakan agenda dalam membantu menambah pendapatan kumpulan B40 yang terdiri dari kalangan 40 peratus pendapatan isi rumah terendah.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Othman Aziz berkata hasrat itu bukan sekadar gimik tetapi agenda berterusan kerajaan Barisan Nasional.

“Antara yang akan diberi penekanan dan pembelaan sewajarnya adalah kepada golongan marhaen susulan kos sara hidup yang kian meningkat pada pembentangan bajet kali ini.

"Tidak kiralah sama ada B40 ini berada di bandar mahupun desa, kerajaan akan mencari jalan membantu meningkatkan sumber pendapatan mereka bagi memastikan ekonomi kekal mapan,” katanya selepas merasmikan penutup Karnival Keusahawanan dan Kesenian Mahasiswa Utara 2016 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Primadona Worldwide, Datuk Seri Musharuddin Mohamad; Rektor UiTM Perlis, Zailuddin Ariffin; Pengarah Unit Strategi Nasional (USN) Kementerian Kewangan, Dr Aminuddin Hassim; dan Pegawai Khas kepada Perdana Menteri merangkap Presiden Pertubuhan Jalinan Sukarelawan Malaysia (Sukarelawan Malaysia) Isham Jalil.

Othman yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Muda (MADA) berkata antara perkara yang akan diberi perhatian dalam meningkatkan taraf ekonomi penduduk di luar bandar adalah khususnya golongan petani adalah dengan menambah hasil pengeluaran beras negara.

“MADA ketika ini membekalkan 38 peratus daripada bekalan beras negara.

“Kami sedang mencari jalan untuk meningkatkan peratusan itu sehingga 70 peratus bagi membantu golongan itu menambah pendapatan,” katanya. -- BERNAMA