Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) bersetuju menjual beberapa aset miliknya di United Kingdom (UK).

Persetujuan itu dibuat selepas masyuarat bersama Lembaga Pengarah Felda pada 20 Februari lalu di Kuala Lumpur.

Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abd Samad berkata aset yang hendak dilupuskan itu sudah matang serta mempunyai nilai yang tinggi dan tidak rugi sekiranya dijual pada masa ini.

Katanya, penjualan akan dibuat secara tender terbuka selepas penilaian dibuat sepenuhnya oleh syarikat penilaian di UK.

Pihaknya akan memilih tawaran yang paling baik dan tertinggi.

“Lembaga Pengarah bersetuju supaya dilupuskan aset yang kita ada di London supaya kita ada hasil sepenuhnya daripada Felda.

“(Aset) sudah matang dan boleh mendapat untung dari segi kadar pertukaran. Kita beli 1 pound dulu RM5.10 sen, sekarang kadar pertukaran RM5.60, jadi kita ada untung dari kadar pertukaran dan dari segi nilai yang sudah bertambah.

“Maka, dari segi itu penjualan akan dibuat secara tender terbuka. Sesiapa yang berminat kita akan terima tawaran, dan kita yakin Felda akan dapat menghasilkan sumbangan baik daripada pelaburan itu,” ujar Shahrir.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penyerahan baucer Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di Flat Sri Stulang Johor Bahru, Johor.

Tegas Shahrir, buat masa ini Felda tidak merancang sebarang pembelian dan pelaburan baharu untuk organisasi itu, sebaliknya lebih fokus kepada mengemaskan pelaburan sedia ada supaya terdapat pulangan.