Negara-negara rantau Asia seperti Malaysia dan Bangladesh dijangka berhadapan masalah untuk mendapatkan bekalan bawang selepas pengeksport bawang terbesar dunia, India, mengambil keputusan menghadkan penjualannya ke negara lain.

Bawang yang merupakan antara bahan asas di dalam masakan warga Asia, sedang mengalami kekurangan bekalan di serata dunia.

Menurut seorang penjual di Dhaka, Bangladesh harga bawang dianggar akan kekal mahal dan bekalannya berkurangan untuk sekurang-kurangnya dua bulan sehingga India menamatkan had eksport bahan itu.

“Di Dhaka, harga bawang tidak stabil untuk beberapa bulan dan pernah mencecah 100 taka (sekitar RM5) satu kilogram minggu ini.

“Kami harap harga akan kembali normal setelah tuaian baharu di India mula dijual di pasaran,” kata Mohammad Idris kepada Reuters.

Kenaikan harga runcit bawang sebanyak tujuh kali ganda dalam masa lima bulan telah menyebabkan India menetapkan harga minimum kepada US$850 (sekitar RM3,480) satu tan sehingga hujung 2017, dibandingkan dengan US$700 (RM2,863) sebelum ini.

Seorang pengeksport dari India, Ajit Shah, berkata tidak ramai pengimport yang sanggup bayar US$850 untuk satu tan bawang.

India mengeksport 2.4 juta tan bawang pada 2016/17, kebanyakannya kepada Bangladesh, Malaysia dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE). Pengeksport lain termasuk Pakistan, China dan Mesir.

Negara pengimport seperti Malaysia, Bangladesh, Sri Lanka, UAE, Indonesia dan Nepal kini beralih ke China dan Mesir untuk bekalan, tetapi bekalan mereka masih tidak mencukupi.

Pembeli Asia lebih suka bawang dari India kerana rasa yang sedap, kos pengangkutan murah dan penghantaran cepat.

Penghantaran dari Mesir mengambil masa satu bulan, 20 hari dari China manakala penghantaran dari India hanya mengambil masa beberapa hari sahaja.