Khazanah Nasional Bhd dijadual mengagihkan sehingga RM1.6 bilion kepada Malaysia Airlines (MAS) sebagai sebahagian daripada fasa kedua pembiayaan pelaburan bersyarat dalam tempoh tiga bulan akan datang.

Syarat-syarat pengagihan itu ialah pelaksanaan beberapa perkara utama, antaranya, pelan perniagaan syarikat baharu (NewCo) telah diluluskan oleh Khazanah dan Lembaga Pengarah MAS, menurut Khazanah dalam Perkembangan Kemajuan Suku Tahun Pelan Pemulihan MAS (MRP) yang kedua.

MAS NewCo merupakan syarikat yang mengambil alih MAS sebagai sebahagian daripada penstrukturan semula syarikat penerbangan nasional itu, dan Khazanah memiliki 100 peratus kepentingan.

Syarat lain yang diperlukan untuk pembiayaan ialah kajian tadbir urus korporat, pelaksanaan proses pemilihan tenaga kerja serta program pembangunan dan pengurusan tenaga kerja, dan sasaran kewangan dan operasi untuk dipersetujui.

Seperti disebut di bawah MRP, selesainya pengurangan modal terpilih dan proses pembayaran balik semula (SCR) serta penyahsenaraian MAS merupakan syarat perlu untuk komitmen Khazanah mengagihkan pembiayaan pelaburan sehingga RM6 bilion secara berperingkat dan di bawah syarat yang ketat.

Daripada fasa pertama pembiayaan pelaburan bersyarat berjumlah RM2 bilion yang disasarkan pada akhir Disember 2014, RM1.38 bilion diagihkan untuk pembayaran kepada pemegang saham susulan kejayaan pelaksanaan SCR.

Baki fasa pertama pembiayaan itu akan diagihkan berdasarkan keperluan aliran tunai MAS dan syarat-syarat yang ditetapkan oleh Khazanah.

Sebagai sebahagian daripada matlamat jangka panjang MAS untuk mengurangkan tahap kadar hutangnya, perbincangan mengenai syarat cadangan pertukaran hutang-bagi ekuiti dengan beberapa pihak sedang dijalankan, dengan perjanjian mengenai syarat-syarat utama yang disasarkan pada akhir suku pertama 2015 dan pelaksanaan perjanjian definitif pada suku kedua 2015.