Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yakin pengumuman langkah-langkah yang dibuat oleh Bank Negara Malaysia (BNM) berupaya mengukuhkan mata wang negara.

Perdana Menteri percaya sebagai sebuah badan pengawal selia dasar monetari negara, langkah yang dibuat oleh BNM itu akan memberi keyakinan kepada pasaran untuk mengambil langkah tertentu.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata BNM telah mengkaji sebaik-baiknya sebelum mengumumkan langkah tersebut.

"Saya percaya Bank Negara sebagai regulator, sebuah sebuah bank yang tahu soal monetari negara, termasuk soal management of exchange rate sudah tentu mereka kaji semasak-masaknya dan cadangan enam langkah yang mereka umumkan akhir minggu lalu saya percaya akan beri optimism kepada pasaran untuk mengambil langkah tertentu dan percaya dapat kukuhkan nilai mata wang kita," katanya kepada pemberita selepas melancarkan ulangtahun ke-10 Iskandar Malaysia di sini hari ini.

Perdana Menteri mengulas soalan pihak media yang bertanya sama ada langkah-langkah yang diumumkan BNM berupaya mampu mengukuhkan ringgit Malaysia.

Pada Jumaat lepas, BNM mengumumkan beberapa langkah yang dijangka boleh mengukuhkan kedudukan mata wang.

Antaranya pengeksport tempatan perlu menukar 75 peratus hasil yang dijana daripada eksport kepada mata wang ringgit dan hanya 25 peratus dibenar dikekalkan dalam mata wang asing.

Pada pukul 3 petang ini, ringgit disebut harga pada 4.4410/450 berbanding dolar AS pada 4.4470/4500 ketika ditutup semalam.