Di sebalik cabaran yang dihadapi negara dengan kejatuhan harga minyak dan kelemahan nilai ringgit, Malaysia kekal menyerlah dalam Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2017.

Ia dibuktikan menerusi kejayaan menarik minat pelabur dan dijangka akan terus menjadikan WEF sebagai antara platform penting untuk meletakkan Malaysia di peta perdagangan dunia.

Menerusi forum tahun ini, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed akan menyertai beberapa pemimpin utama dunia dalam dua sesi bukan formal perhimpunan pemimpin ekonomi dunia dan lapan sesi WEF.


Katanya, penglibatan Malaysia dalam WEF sebelum ini sudahpun membuahkan hasil apabila wujud pelaburan baru dan pelaburan tambahan dari luar negara ke dalam pelbagai sektor di Malaysia.

Malah untuk tahun ini, beliau dan beberapa syarikat Malaysia yang lain seperti Khazanah Nasional akan terus mengadakan pertemuan dengan pelabur dan syarikat antarabangsa untuk menarik pelaburan baru ke Malaysia.

“Untuk membolehkan kita menonjolkan kejayaan Malaysia dalam memtransformasikan negara kita untuk menjadikan negara kita kondusif dalam pelaburan. Kita akan berjumpa dengan beberapa syarikat dengan itu Malaysia akan terus menjadi destinasi pelaburan bagi syarikat antarabangsa,” kata Mustapa ketika ditemui di sini hari ini.

Tahun ini, enam syarikat terkemuka Malaysia menghadiri forum tahun ini.

Ia melibatkan CIMB Group Holdings, AirAsia Berhad, Astro Malaysia Holdings Berhad, Khazanah Nasional Berhad, SapuraKencana Petroleum dan YTL Corporation.

Wakil dari syarikat berkenaan akan menyertai 2,500 peserta, termasuk 300 ketua kerajaan dan wakil kerajaan dari seluruh dunia.

WEF ialah organisasi bebas antarabangsa bagi kerjasama awam-sawsta, yang ditubuhkan pada 1971, dengan matlamat untuk menambah baik kedudukan ekonomi dunia.