Maxis Bhd and Samsung menjalin kerjasama bagi menyediakan khidmat perusahaan gred mobiliti kepada perniagaan Malaysia, sekali gus menjadikannya syarikat telekomunikasi mudah alih pertama Asia menjadi sebahagian program Duta Perniagaan Samsung (SBA).

Dalam satu kenyataan pada Jumaat, Maxis berkata kerjasama dengan pasukan perniagaan-kepada-perniagaan Samsung (B2B) itu turut menyaksikan Maxis dilantik sebagai syarikat telekomunikasi pertama Malaysia yang menawarkan penyelesaian Samsung Knox secara langsung iaitu perisian bagi mengurus, melindungi dan menyesuaikan peranti mudah alih untuk keperluan perniagaan serta aplikasi industri yang berbeza.

Maxis juga dapat menawarkan beberapa manfaat perniagaan termasuk cadangan yang relevan, kecekapan dan keselamatan perniagaan.

Ketua Perusahaan Maxis, Loong Tuck Weng berkata status sebagai SBA itu akan membolehkan perniagaan yakin dengan kemampuan Maxis memberi nasihat pakar terbaik bagi memenuhi keperluan khusus mereka.

"Menerusi Knox, kami dapat menawarkan kaedah terbaik untuk menguruskan keselamatan dan meningkatkan produktiviti pelanggan. Kerjasama ini hanya mengukuhkan lagi kedudukan kami sebagai penyedia penyelesaian bersepadu terpilih untuk perniagaan di Malaysia," katanya.

-- BERNAMA