Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka tidak mengubah Kadar Dasar Semalaman (OPR) dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetori (MPC) hari ini.

Menurut Ketua Strategi Phillip Capital Phua Lee Kerk, ini kerana berdasarkan situasi ekonomi makro semasa, ekonomi Amerika Syarikat dilihat masih baik.

"Namun melihat kepada data eksport China nanti, pasaran dan dunia gusar sama ada China akan kekal terjejas akibat ekonomi negatif global.

“Dalam persekitaran itu, BNM akan kekalkan dasar akomodatif. Saya tidak rasa pasaran menjangkakan kejutan dari Bank Negara,” kata Phua ketika dihubungi Astro AWANI.

Kenyataan mesyuarat MPC akan dikeluarkan bank pusat jam 5 petang ini.

Menurut laporan Bloomberg, ini merupakan mesyuarat terakhir Zeti sebagai gabenor selepas 16 tahun memimpin bank pusat itu.

Lee Kerk berkata pasaran menanti penuh sabar siapa pengganti Zeti yang bakal diumumkan kerajaan.

“Pasaran masih menanti pengumuman oleh kerajaan siapa bakal menjadi gabenor seterusnya kerana tanpa mengetahui siapa gabenor baharu, sukar untuk pasaran menjangkakan cara kepimpinan gabenor baharu.

"Sama ada sama cara seperti Zeti, dialog dengan pasaran. Jadi selepas mesyuarat hari ini kerajaan mungkin berikan isyarat sedikit siapa bakal jadi gabenor," katanya.

OPR dikekalkan sejak sembilan mesyuarat MPC sebelum ini selepas dinaikkan kepada 3.25 peratus pada September 2014 daripada 3.00 peratus sebelum ini.

Menurut laporan Bloomberg lagi, calon pengganti Zeti akan dipilih oleh Jawatankuasa Tadbir Urus di bawah Bank Negara melibatkan calon dalam dan luar bank pusat.

Daripada senarai itu, kerajaan akan memilih calon dan dibentangkan kepada Yang diPertuan Agong.

Bloomberg sebelum ini menyenaraikan antara calon berkemungkinan menggantikan Zeti antaranya Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Irwan Serigar Abdullah, Duta Malaysia ke Amerika Syarikat Datuk Awang Adek Hussin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

Selain itu tiga timbalan gabenor sedia ada turut tersenarai.