Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak optimis dengan pelancaran Hab Penyelidikan dan Pengetahuan Kumpulan Bank Dunia di Sasana Kijang, Malaysia.

Beliau berkata antara manfaat yang akan dinikmati melalui pelancaran ini ialah peluang pekerjaan bagi warga Malaysia.

Beliau turut berkata melalui satu program, beberapa individu daripada sektor awam akan diserap masuk ke Bank Dunia.

Menurut Najib ini akan memberi manfaat dan pengalaman yang menarik kepada kedua-dua pihak.

Selain itu, beliau berkata penempatan pejabat Bank Dunia di Malaysia menekankan bahawa negara ini adalah satu daripada lokasi pilihan organisasi antarabangsa dan perniagaan di rantau ini.

"Ini memberikan kami keyakinan untuk meneruskan usaha kami dan menunjukkan keyakinan dunia terhadap kekukuhan dasar negara kita," kata Najib ketika melancarkan pejabat Bank Dunia di Malaysia hari ini.

Pelancaran turut disaksikan Naib Presiden Serantau Bank Dunia Dr. Axel van Trotsenburg dan Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

Tambah Najib hab penyelidikan dan pengetahuan Bank Dunia ini akan memberi fokus kepada dua segmen.

Pertamanya, pembangunan dasar pada peringkat global dan serantau.

Kedua, analisis perusahaan dan petunjuk global yang akan menyumbang kepada Laporan 'Doing Business World Bank'.

Ia turut akan memberi sokongan operasi bagi dialog perusahaan dan perdagangan di Asia Tenggara, Asia Timur dan Asia Selatan.