Pelabur unit amanah dijangka mengubah haluan pelaburan mereka ke pasaran luar seperti Jepun dan Asia Pasifik berbanding pasaran tempatan bagi tempoh 6 bulan akan datang.

Menurut kajian Eastspring Investments, peruntukan pelaburan di peringkat domestik dijangka jatuh kepada 59 peratus berbanding 70 peratus bagi separuh kedua tahun ini.

Ketua Pegawai Jualan dan Pemasaran Eastspring Investments Yap Siok Hoon berkata kelemahan pasaran Malaysia sejak awal tahun menyaksikan pelabur mempelbagaikan portfolio bagi memastikan pulangan mapan.

"Kajian kami mendapati kebanyakan pelabur bertukar kepada dana pendapatan berbanding dana pertumbuhan.

Kajian itu mendapati 44 peratus responden bercadang mempelbagaikan portfolio pelaburan ke pasaran luar negara.

"Punca trend ini adalah pelabur mahu mempelbagaikan (portfolio) di luar Malaysia, dan jua kemungkinan disebabkan pembetulan dalam pasaran Malaysia membuatkan mereka ingin melabur di luar.

"Peningkatan signifikan dalam kajian ini adalah perbandingan dari portfolio mereka pada masa kini dan ke mana mereka mahu melabur dalam tempoh 6 bulan, salah satu perubahan besar adalah melabur di pasaran ekuiti Jepun," katanya selepas membentangkan hasil kajian di sini hari ini.

Tambah beliau pelabur juga dilihat bertukar kepada dana pulangan dan dana seimbang berbanding dana pertumbuhan sekaligus menunjukkan selera tinggi kepada produk lebih selamat.

Siok Hoon berkata bagaimanapun sebahagian pelaburan masih kekal di Malaysia dengan jangkaan pulangan tinggi dalam pasaran.

Responden menjangkakan pulangan sehingga 24 peratus, jauh lebih tinggi berbanding pasaran serantau lain.

Sementara itu Pengurus Besar Sokongan dan Perkhidmatan Pelaburan Eastspring Investments Yvonne Tan berkata ekuiti kekal menjadi kelas aset pilihan dan memberikan pulangan memberangsangkan berbanding kelas aset lain termsuk bon.

"Jangka panjang kami masih positif dengan pasaran ekuiti kerana melihat kepada kadar inflasi, jika anda labur wang anda dalam pasaran bon, ia tidak akan memberi pulangan tinggi. Inflasi meningkat sedikit di Malaysia. Negara lain sedikit rndah berbanding Malaysia." Katanya.

Kajian Eastspring melibatkan hampir 2400 pelabur dan pelabur berpotensi melibatkan enam buah negara Asia Pasifik seperti Malaysia, Jepun, Korea Selatan dan Singapura.