Sentimen perniagaan Jepun di Malaysia, yang mencapai kemuncaknya selama lima tahun, dijangka bertambah baik pada separuh kedua 2018 dan pada masa akan datang, demikian menurut hasil kajian dalam talian yang dijalankan oleh Dewan Perdagangan dan Industri Jepun (JACTIM) dan Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (JETRO) pada separuh pertama tahun ini.

Sejumlah 184 syarikat Jepun, yang mewakili 33 peratus ahli JACTIM, mengambil bahagian dalam kaji selidik tiga bulan itu, yang menunjukkan peningkatan trend dalam sentimen perniagaan sejak separuh kedua 2015.

Indeks Difusi, penunjuk utama iklim perniagaan untuk separuh pertama 2018, merekodkan 7.1 mata, tertinggi dalam tempoh lima tahun lepas.

Kajian itu dijalankan dua kali setahun bagi memahami masalah yang dihadapi oleh anggota JACTIM dalam operasi perniagaan mereka setiap tahun.

Dalam satu kenyataan bersama, mereka berkata banyak syarikat Jepun menyatakan pertumbuhan ekonomi yang stabil di negara ini sebagai sebab utama perkembangan masa depan.

Syarikat-syarikat Jepun tertarik untuk melabur di Malaysia disebabkan penguasaan bahasa Inggeris yang tinggi dalam kalangan tenaga kerja.

"Sikap mesra dan positif terhadap Jepun, bencana alam yang minimum, persekitaran hidup yang selamat dan baik dan infrastruktur berkualiti juga merupakan pilihan utama dalam kalangan pelabur Jepun," kata kenyataan itu.

Bagaimanapun, kaji selidik itu juga mendapati dasar buruh dan situasi pekerjaan di Malaysia merupakan isu yang mempengaruhi syarikat Jepun yang beroperasi di negara ini.

JETRO dan JACTIM berkata 36.5 peratus daripada responden dalam sektor perkilangan menghadapi kesukaran mengambil pekerja asing.

Untuk mengatasi masalah dalam menggaji pekerja asing, 39.3 peratus daripada responden mencadangkan mekanisasi dan automatisasi sebagai jawapan kepada masalah, namun 51.9 peratus responden mengatakan itu bukanlah jawabannya memandangkan tenaga kerja tidak mempunyai pengetahuan teknikal untuk mengendalikan mesin.

"Syarikat Jepun juga mahu prosedur permohonan pekerja asing dipermudahkan.

"Dalam sektor perkilangan, pekerja asing membentuk 15 peratus daripada jumlah pekerja," katanya.

Syarikat Jepun juga menjangkakan peningkatan kos buruh berikutan dasar upah minimum akan dikaji semula tahun ini.

"Dengan jangkaan kenaikan upah dan peraturan pekerja asing yang ketat, usaha bagi mendapatkan tenaga pekerja dijangkakan 'menjadi isu kronik bagi syarikat-syarikat Jepun,' katanya.

Kaji selidik tersebut juga menunjukkan bahawa penambahbaikan dalam pengangkutan awam diperlu memandangkan rangkaian pengangkutan belum siap sepenuhnya.

Tinjauan itu juga menunjukkan ahli mengharapkan penambahbaikan infrastruktur lapangan terbang.

"Keinginan untuk melihat peningkatan dalam komunikasi dan infrastruktur Internet juga tinggi memandangkan komunikasi Internet tidak memuaskan dalam bidang tertentu," katanya.

Kaji selidik itu juga mendapati syarikat Jepun berhati-hati memantau risiko mata wang asing yang disebabkan oleh keadaan domestik dan ekonomi global.

Ia juga menyatakan bahawa perubahan peraturan kawalan tukaran asing yang dikenakan oleh bank pusat pada Disember 2016 masih menjejaskan syarikat Jepun.

-- BERNAMA