Tutup

Berita  | Dunia

Ahli Parlimen Britain sokong usul minta EU lanjut tempoh rundingan

Ahli Parlimen Britain sokong usul minta EU lanjut tempoh rundingan
Reaksi Perdana Menteri Britain, Theresa May, semasa perbahasan usul meminta lanjutan tempoh rundingan Brexit di Parlimen, London, 14 Mac, 2019. UK Parliament/Jessica Taylor/Handout via REUTERS
LONDON: Anggota Parlimen Britain pada Khamis mengundi menyokong usul meminta Kesatuan Eropah (EU) melanjutkan tempoh rundingan berkaitan Perkara 50 dalam proses Brexit yang menemui jalan buntu, lapor agensi berita China Xinhua. 

Keputusan undian di Dewan Rakyat menyaksikan sejumlah 412 Ahli Parlimen menyokong manakala 202 lagi menentang, dengan majoriti sebanyak 210 bagi meminta persetujuan EU menangguhkan Brexit sehingga 30 Jun.

Keputusan itu bermakna Britain akan meminta kebenaran EU untuk melanjutkan tempoh rundingan berkaitan Perkara 50 selepas 29 Mac, yang merupakan tarikh Brexit.

Ia dilihat sebagai satu kejayaan kepada kerajaan Britain yang mengemukakan usul itu, manakala anggota Parlimen turut mengundi menolak satu lagi usul yang dikemukakan pembangkang iaitu Parti Buruh untuk menangani isu Brexit menerusi "pendekatan berbeza."

Terdahulu, anggota Parlimen menolak satu pindaan bagi mengadakan referendum kedua. 

Ia merupakan kali pertama isu referendum awam baharu terpaksa berdepan pengundian di Parlimen sejak referendum pertama dijalankan pada Jun 2016.
Pengundian pada Khamis dibuat selepas anggota Parlimen menentang kerajaan Britain pada Rabu dan memutuskan untuk menolak langkah keluar EU tanpa sebarang perjanjian dalam suasana yang disifatkan oleh penyokong Brexit sebagai "kelam-kabut."



Keputusan itu dicapai 15 hari sebelum Britain dijadual meninggalkan Kesatuan Eropah.

Tiada kesepakatan dalam kalangan pengamal politik Britain tentang bagaimana negara itu akan meninggalkan blok serantau tersebut selepas menganggotai EU selama 46 tahun.

Perkara 50 dalam Perjanjian Lisbon menetapkan bagaimana sesebuah negara anggota EU yang secara sukarela ingin meninggalkan kesatuan itu. 

Bagaimanapun, perkataan yang digunakan agak kabur, seolah-olah penggubalnya menganggap perkara seperti itu tidak mungkin berlaku.
Kini, ia tertakluk kepada pertikaian antara pemimpin EU yang terdesak mahukan kepastian berhubung perkara itu susulan undian Brexit, dengan para penyokong Brexit di UK meminta lanjutan masa, kata pemerhati.

Juga pada Khamis, 312 anggota Parlimen mengundi menyokong manakala 314 menolak usul berhubung satu pindaan untuk memberikan masa kepada mereka bagi mengundi pilihan-pilihan Brexit.

Sebelum parlimen mengundi untuk meminta Brexit ditangguhkan, seorang jurucakap Perdana Menteri Britain Theresa May berkata kerajaan akan melipatgandakan usahanya bagi mendapatkan satu perjanjian Brexit. 

Perjanjian keluar Brexit May, yang dicapai oleh London dan Brussels pada November 2018, telah dua kali ditolak di Dewan Rakyat sejak Januari. 

Terdapat peluang untuk mengadakan pengundian ketiga di parlimen.

Terdahulu pada Khamis, Suruhanjaya EU berkata terpulang kepada pemimpin kesatuan itu untuk mempertimbang sebarang permintaan berhubung lanjutan masa bagi Brexit dari London, dan akan mengambil kira alasan serta tempoh penangguhan yang dicadangkan.