Kerajaan Indonesia menetapkan biayaan untuk ke Tanah Suci bagi menunaikan ibadah haji tahun ini adalah sebanyak Rp34.890 juta (kira-kira RM12,000) iaitu meningkat sebanyak 0.25 peratus berbanding tahun lepas.

Media-media dalam talian memetik Ketua Komisi VIII Dewan Perwakilan Rakyat Ali Taher Parasong berkata antara faktor kenaikan kos itu disebabkan kejatuhan pertukaran wang rupiah berbanding dolar Amerika dan kenaikan harga bahan api pesawat.

Katanya bagaimanapun kerajaan memberi perkhidmatan tambahan termasuk makan minum sebanyak dua kali sehari selama jemaah berada di Makkah dan Madinah.

Beliau berkata selain itu khemah yang digunakan untuk wukuf di Arafah juga adalah khemah baharu yang anti panas dan dilengkapi pendingin ruangan.

Indonesia adalah negara paling banyak jumlah umat Islam di dunia dan jumlah jemaah haji tahun ini sebanyak 221,000 orang iaitu tambahan sebanyak 31.4 peratus berbanding tahun lepas.

Bersempena lawatan Raja Arab Saudi, Salman bin Abdulaziz Al Saud ke Indonesia baru-baru ini, kerajaan Arab Saudi mengumumkan bersetuju mengembalikan kuota asal jemaah haji di samping kuota tambahan khas untuk Indonesia. -- Bernama