SEKTOR penerbangan di Timur Tengah dan Afrika berdepan kerugian mencecah sehingga AS$23 bilion akibat pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia.

Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) dalam satu kenyataan berkata, syarikat-syarikat penerbangan yang beroperasi di Timur Tengah terpaksa menanggung kerugian sebanyak AS$19 bilion.

"Syarikat-syarikat penerbangan di Afrika pula perlu menanggung kerugian kira-kira AS$4 bilion.

"Kerugian itu membabitkan kemerosotan perolehan sebanyak 39 peratus yang dicatatkan oleh syarikat-syarikat penerbangan di Timur Tengah tahun ini, berbanding tahun lalu," kata kenyataan tersebut.

Sehubungan itu, IATA menyeru kerajaan negara-negara di Timur Tengah untuk berusaha menyelamatkan syarikat-syarikat penerbangan di negara masing-masing menerusi bantuan kewangan dan pemotongan cukai.

Jelas kenyataan itu, antara syarikat penerbangan yang terjejas teruk adalah di Arab Saudi, Emeriah Arab Bersatu (UAE), Mesir, Qatar, Jordan, Afrika Selatan, Nigeria, Ethiopia dan Kenya.

"Arab Saudi sahaja menyaksikan pengurangan sehingga 26.7 juta penumpang membabitkan kerugian AS$5.61 bilion.

"Ia menjejaskan sebanyak 217,570 pekerja dalam industri itu yang kini menyumbang sebanyak AS$13.6 bilion kepada ekonomi Arab Saudi," jelas kenyataan tersebut.

Tambahnya, situasi yang hampir sama turut dialami syarikat penerbangan di UAE yang menyaksikan penyusutan 23.8 juta penumpang dengan kerugian AS$5.36 bilion.

Katanya, situasi itu turut menjejaskan 287,863 pekerja dan pendapatan sebanyak AS$17.7 bilion kepada ekonomi UAE.